Cuepacs harap Wan Ahmad Dahlan segera kajian sistem saraan

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Adnan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengharapkan pelantikan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mampu menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempercepatkan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

“Cuepacs yakin kepimpinan dan pengalaman luas Wan Ahmad Dahlan mampu menerajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke arah yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Sememangnya perkhidmatan awam memerlukan pemimpin yang berpengalaman luas dan dekat dengan anggotanya agar segala permasalahan serta hal kebajikan penjawat awam dapat disantuni dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan Wan Ahmad bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berdasarkan pengalaman luas Wan Ahmad Dahlan dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan serta perkhidmatan.

Selain meningkatkan mutu perkhidmatan awam, Adnan berharap Wan Ahmad Dahlan mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama melibatkan peringkat pengurusan tertinggi dan kumpulan pekerja sokongan.

“Cuepacs juga menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas diamanahkan demi negara yang kita cintai.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan cemerlang.

“Penjawat awam perlu menunjukkan profesionalisme melalui sikap dan tindakan yang mencerminkan integriti, kecekapan, dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada masa sama, Adnan menzahirkan penghargaan kepada Zulkapli atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang berkhidmat sebagai KPPA.

Katanya, jasa dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam amat dihargai oleh Cuepacs terutamanya dalam menjaga perihal kebajikan penjawat awam dan pemerkasaan institusi.

“Walaupun sibuk dengan tugasan dan urusan rasmi, beliau sentiasa terbuka dan memberi ruang bagi menerima pandangan kongres dalam usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini,” ujar Adnan.