Siti Nurhaliza mohon maaf tidak dapat tambah hari, tiket konsert

Siti memohon maaf dan memaklumkan pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai faktor. -Astro AWANI
Siti memohon maaf dan memaklumkan pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai faktor. -Astro AWANI
A
A
A

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin melahirkan rasa kesal tidak dapat menunaikan permintaan sebilangan peminat untuk menambah hari dan juga jumlah tiket bagi konsert "Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza" pada 9 Mac ini.

Pelantun lagu Nirmala itu memohon maaf seraya memaklumkan dia dan pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai faktor.

“Tidak ada pengumuman baharu hari ini. Saya minta maaf tidak dapat tambah hari dan jualan.

“Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu.

“Ini saya dan team sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin tambah hari,” katanya.

Siti memaklumkan perkara itu semasa sidang media Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di ibu kota pada Isnin.

Bagi merawat luka peminat, Siti berkata, pada konsert seterusnya, dia akan cuba untuk menganjurkannya selama dua hari.

“Saya mohon maaf ramai tidak berkesempatan sebab tiket sudah habis dijual.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari,” ujarnya.

Siti juga memaklumkan Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tambah Siti, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di Palestin.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 9 Mac 2024. - Awani