Anwar minta laporan projek penyelesaian masalah air di UMS

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican menyediakan laporan terperinci berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bercakap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan RM3 juta telah diluluskan sewaktu kunjungan beliau ke negeri itu tahun lalu.

"Saya baca di media sosial ketibaan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) disambut oleh mahasiswa UMS yang belum mandi kerana ketiadaan air.

"KSP boleh tanya Ketua Setiausaha (KSU) KPT apa yang berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang telah diambil oleh kementerian dan universiti untuk melaksanakannya," katanya pada Selasa.

Terdahulu, ketibaan Zambry ke universiti berkenaan disambut mahasiswa universiti dan diiringi lagu serta lirik antara lain berbunyi 'kami belum mandi'.

Mereka juga memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis 'Air Ma(na)dani?'.

Zambry mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk penyelasaian jangka pendek dan panjang agar masalah tersebut dapat diatasi dalam kadar segera.

Ujar Anwar, segenap jentera kerajaan sepatutnya mempunyai keseragaman dan kefahaman dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pada sebahagian orang ini perkara kecil tetapi mahasiswa hadapi masalah bekalan air, patut meresahkan kita.

"Sebab itu antara perancang dan pengurus di bawah itu akan ada kesenjangan yang nyata," katanya.

Turut hadir pada perhimpunan itu adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Sementara itu, Anwar turut mengarahkan Amir dan Johan memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan Persekutuan yang berlubang di seluruh negara.

"Di dalam Belanjawan 2024 kerajaan telah meluluskan.

"Tidak perlu tunggu Mac atau April. Sepatutnya dari sekarang ambil tindakan untuk menentukan pelaksanaan itu.

"Sewaktu saya Menteru Kewangan dahulu, Jalan Persekutuan itu baik, jalan negeri berlubang.

"Sekarang jalan negeri jauh lebih baik dari Persekutuan," katanya.