Mangsa banjir di Johor, Pahang berkurang kepada 8,366 pagi ini - Nadma

Bandar Kota Tinggi yang masih ditenggelami banjir sehingga Selasa malah air naik mencecah sehingga tiga meter di beberapa kawasan.
Bandar Kota Tinggi yang masih ditenggelami banjir sehingga Selasa malah air naik mencecah sehingga tiga meter di beberapa kawasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan sedikit penurunan kepada 8,366 yang berlindung di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 pagi ini berbanding 8,566 di jumlah PPS sama malam tadi.

Menurut laporan terkini situasi bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor, sebanyak 26 PPS dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 4,707 mangsa, diikuti 13 di Kluang (1,601), lima di Johor Bahru (840), tiga di Segamat (73) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86) dan Pontian (17).

Di Pahang, jumlah mangsa berkurang kepada 1,042 yang berlindung di 22 PPS di tiga daerah berbanding 1,222 di 27 PPS, malam tadi.

Seramai 360 mangsa ditempatkan di lapan PPS di Pekan, serta masing-masing tujuh PPS di Maran (341 mangsa) dan Rompin (341 mangsa).

Sebuah PPS turut dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan bencana kebakaran yang menempatkan 38 mangsa.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor (Johor Bahru), Sungai Johor (Kota Tinggi), Sungai Johor (Kulai) dan Sungai Endau (Kluang).

Selain itu, Sungai Perak (Hulu Perak, Perak), Sungai Arau (Arau, Perlis) dan sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Pekan), Sungai Pahang (Jerantut), Sungai Pahang (Maran) dan Sungai Rompin (Rompin).

Laporan itu memaklumkan terdapat 60 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sam Ke Dabong, Jeli di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang. - Bernama

Artikel Berkaitan: