Laksana audit terhadap majikan guna khidmat pekerja asing - SPCAAM

SPCAAM gesa kerajaan melaksanakan audit terhadap majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing bagi memastikan ada pematuhan undang-undang. Gmabar kecil: Callistus
SPCAAM gesa kerajaan melaksanakan audit terhadap majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing bagi memastikan ada pematuhan undang-undang. Gmabar kecil: Callistus
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) meminta Kementerian Sumber Manusia melaksanakan audit terhadap setiap majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing bagi memastikan ada pematuhan undang-undang dan layanan secara manusiawi.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus berkata, sekiranya terdapat perniagaan yang melanggar undang-undang, majikan wajar dikenakan denda kerana mengeksploitasikan pekerja asing.

“Eksploitasi pekerja asing memberi kesan langsung kepada pekerja tempatan di negara ini dari segi tekanan gaji dan keadaan kerja tidak bertambah baik.

“Justeru, pembaharuan rangka kerja industri di negara ini amat diperlukan dan yang paling penting adalah untuk memudahkan urusan antara perwakilan pekerja asing serta tempatan dengan kesatuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, selama beberapa dekad pekerja asing di negara ini telah dieksploitasi secara terbuka dan diperlakukan seperti hamba.

Tambah beliau, kebanyakan pekerja asing yang berasal dari negara miskin seperti Bangladesh terhad kepada sebarang bantuan kerana keadaan ekonomi mereka.

“Di tengah-tengah masalah ini, rasuah sistemik membolehkan eksploitasi sedemikian berlaku. Orang tengah yang terlibat adalah pegawai kerajaan dan majikan syarikat.

“Semua pihak ini mendapat manfaat dari segi kewangan dan telah berani serta terbuka mengenainya,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihaknya memuji Menteri Sumber Manusia yang baharu iaitu Steven Sim Chee Keong kerana dilihat telah memulakan langkah segar sejak menerajui kementerian berkenaan.

Menurut Callistus, usaha Steven bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mencadangkan pembekuan permohonan kuota pekerja asing kepada Kabinet adalah langkah sementara yang diperlukan, tetapi ia bukan satu penyelesaian masalah berterusan.

“Apa yang bakal berlaku apabila perniagaan mula melobi sepertimana terjadi pada masa lalu, adakah kerajaan akan membenarkan status quo yang korup dan eksploitatif untuk disambung semula?

“Masalah ini jelas dan tidak memerlukan perbahasan atau siasatan lanjut, adakah kerajaan yang menjanjikan pembaharuan serta tadbir urus baik ini memiliki keberanian atau moral untuk bertindak menamatkan eksploitasi pekerja di negara ini,” soalnya.