Kerjasama UMNO dengan parti lain ditentukan selepas DUN Sabah bubar

Ahmad Zahid (duduk) ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian, di Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.
Ahmad Zahid (duduk) ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian, di Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu khususnya di Sabah bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO Sabah telah diberikan autonomi dan ia ditetapkan dalam Perlembagaan parti.

"Kita telah berikan autonomi kepada mereka sebab itu ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO. Malah untuk memilih calon dan Ketua Menteri pun, tetapi Presiden atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) harus dimaklumkan.

"Setakat ini mereka menghormati keputusan ini dan kita hargai usaha yang diambil oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam usaha menyatukanpadukan dari peringkat akar umbi hingga peringkat negeri.

"Jadi seperti saya sebutkan, kita sedia bekerjasama dengan siapa saja pun dan parti mana pun yang sedia bekerjasama dengan UMNO dan BN Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian, di Kadamaian Square Taginambur, di sini pada Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap bayangan kerjasama antara UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu bagaimanapun menegaskan bahawa kerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan akan dibuat setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan," katanya.

Sebelum itu, beliau berpandangan bahawa jalinan kerjasama boleh dilakukan dengan mana-mana parti politik tetapi kerajaan yang akan ditubuhkan mesti yang mendapat sokongan daripada rakyat.

"Kita mempunyai pendirian bahawa politik ini sangat pragmatik dan jalinan kerjasama boleh dilakukan dengan mana-mana parti poltik, yang penting kerajaan yang akan ditubuhkan itu mesti kerajaan yang mendapat dokongan daripada rakyat majoriti.

"Dalam perkara ini tentunya kepentingan utama ialah mengukuhkan kerajaan Madani, kerajaan Perpaduan di peringkat nasional, di peringkat negeri semangat tu juga harus ada tetapi hubungan kami BN dan Pakatan Harapan (PH) sangat kukuh.

"Tentunya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan bersama-sama dengan kami jika mereka sudi dan saya nyatakan kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti tidak kira sama ada parti itu parti besar ataupun parti kecil.

"Yang penting sebagai sebuah negara kita mesti mempunyai minda yang terbuka dan tentunya rakyat boleh menilai hati yang mewakili rakyat di Malaysia dan memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.