Langkah 'tebuk atap' tak gugat Perak

Saarani (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel, di sini pada Isnin.
Saarani (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel, di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Usaha pihak tertentu untuk menukar kerajaan tidak akan menjejaskan perancangan pembangunan kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah memberikan keyakinan kepada pelabur bahawa pentadbiran kerajaan negeri kekal stabil.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan dengan kemasukan pelbagai pelaburan seperti Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Kesatuan Eropah (EU) di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan sebagainya.

"Pertama sekali saya dah yakinkan kepada semua pelabur bahawa insya-Allah negeri Perak ini stabil. Politiknya stabil. Kita dah buktikan setahun lebih. Saya mempengerusikan mesyuarat Exco dan kita dah melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Kita percaya pelabur-pelabur yakin dengan apa yang kita buat. Jadi kalau ada apa-apa cabaran itu, lagi kuat cabaran, lagi kuat semangat kita akan meneruskan ni. Jadi kepada pelabur, mereka tak perlu bimbang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Saarani berkata, sebagai pemimpin politik, sebarang usaha untuk menjejaskan keyakinan pelabur tidak tidak seharusnya berlaku.

Menurutnya, tanggungjawab pemimpin di peringkat negeri adalah untuk menarik pelaburan sebanyak mungkin pelabur untuk meningkat hasil.

"Saya pernah jadi ketua pembangkang sebelum ini. Sebagai ketua pembangkang, saya tak akan buat sesuatu yang boleh menyebabkan pelabur lari. Kita akan terus bangunkan negeri dan negara kita.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bab kemaruk (nak jadi kerajaan) ke tak kemaruk itu terpulanglah kepada rakyatlah untuk menilainya," katanya.

Pada 7 Januari lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu berkata, beliau yakin Langkah Dubai akan menjadi kenyataan namun tidak boleh mendedahkan butirannya.

Beliau turut mendakwa PN telah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

Bagaimanapun Pejabat Ketua Pembangkang sebelum itu menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen gabungan itu untuk datang menghadap Seri Paduka Baginda bersama akuan bersumpah masing-masing.

Katanya, kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti yang ditularkan di media sosial juga adalah palsu.

Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan mengenai 'Langkah Dubai' yang didakwa dirancang segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan 'Langkah Dubai' tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan.