Larangan merokok: 31 notis kesalahan dikeluarkan di Johor

Mohd Khuzzan
Mohd Khuzzan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 31 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada perokok dan premis yang gagal mempamer tanda larangan merokok di tempat makan di negeri ini sehingga jam 3 petang semalam.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 25 notis dikeluarkan kepada perokok yang didapati merokok di tempat makan manakala lima notis kesalahan di bawah Peraturan 12 (1) (a) kerana tidak memasang tanda larangan merokok.

Menurutnya, satu lagi notis dikeluarkan kepada pengusaha premis yang tidak mematuhi Peraturan 12 (1) (b) dengan membenarkan perokok merokok di premis mereka.

"Kesemua mereka diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan bayaran kompaun sebanyak RM250 di mana-mana Pejabat Kesihatan daerah yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun berdasarkan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pula membabitkan pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan denda tidak lebih RM 3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

‘Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan: