Empat ditahan bersama ketulan ganja bernilai RM50,250

Fisol (tengah) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala, di sini pada Khamis lalu.
Fisol (tengah) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala, di sini pada Khamis lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan bersama 16 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat bernilai RM50,250 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama, dua lelaki berusia 24 dan 43 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz pada jam 1.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di tempat duduk penumpang bahagian MPV itu menemui enam balutan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja anggaran berat 6,210 gram.

“Susulan penemuan tersebut, polis menahan dua lelaki berkenaan untuk siasatan. Suspek pertama bekerja buruh berusia 24 tahun, beralamat di Padang Besar, Perlis dan mempunyai lima rekod kesalahan dadah serta rekod kesalahan jenayah.

"Suspek kedua berusia 43 tahun pula mempunyai lima rekod kesalahan dadah dan beralamat di Padang Besar, Perlis. Kedua- dua mereka positif dadah jenis methampetamine," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah pada Ahad.

Fisol berkata, nilai dadah yang dirampas daripada dua suspek lelaki itu berjumlah RM19,250 selain wang tunai bercampur bernilai RM100.

Fisol (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas dari empat individu dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala pada Khamis lalu.
Fisol (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja yang berjaya dirampas dari empat individu dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala pada Khamis lalu.

Susulan tangkapan pertama, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 36 dan seorang wanita berusia 32 tahun pada jam 4.10 pagi dalam serbuan di tepi lorong, Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kedua-dua suspek menaiki kereta jenis BMW merah dan hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian belakang menemui sebuah kotak dan di dalamnya terdapat 10 balutan plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 10,005 gram.

"Polis menahan kedua-dua suspek untuk membantu siasatan dan hasil semakan mendapati suspek lelaki beralamat di Kuala Ketil dan bekerja sebagai buruh serta mempunyai empat rekod kesalahan dadah dan 11 rekod kesalahan jenayah.

"Suspek wanita pula tidak memiliki rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing pula mendapati dia negatif dadah," ujarnya yang percaya dadah berkenaan disyaki dibawa masuk dari negara jiran.

Beliau berkata, nilai dadah yang dirampas dalam serbuan kedua adalah RM31,000 dan wang tunai bercampur-campur yang dirampas sebanyak RM100.

Keempat-empat suspek telah direman di Balai Polis Alor Setar sehingga Rabu ini dan disiasat mengikut Seksyen 39 ADB 1952 bagi kes memiliki dadah dan Bahagian IIu ADB 1988 bagi sitaan wang tunai.