SST: Bimbang pengguna kemudahan kesihatan TCM tanggung beban

Lee Lam Thye - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Lee Lam Thye - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perniagaan yang menyediakan kemudahan perubatan bagi sektor tradisional dan komplementari (TCM) dikhuatiri membebankan rakyat yang bergantung dengan rawatan tersebut, khususnya golongan B40.

Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun perlaksanaan itu dilihat sebagai langkah untuk menambah pendapatan negara, ia dibimbangi akan menyebabkan kenaikan harga barangan jualan yang seterusnya terpaksa ditanggung oleh pengguna dan pembeli terakhir di sektor TCM.

"Ini sekali gus akan meningkatkan bebanan rakyat yang terpaksa bergantung terhadap rawatan TCM demi menjalani kehidupan seharian.

"Justeru, diharapkan agar cukai SST terhadap sektor TCM dikecualikan bagi membantu rakyat yang memerlukan rawatan daripada sektor ini khasnya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan bergantung terhadap perubatan alternatif seperti ayurveda, sin seh dan rawatan Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bermula Mac, kemudahan TCM seperti kedai dan perkhidmatan perubatan tradisional Cina dengan perolehan tahunan RM500,000 setiap tahun perlu mengenakan lapan peratus dalam SST.

Dalam pada itu, tambah Lam Thye, sektor TCM adalah keperluan untuk pesakit kronik bagi semua kaum di negara ini dan bukan bersifat hiburan yang wajar dikenakan cukai.

"Ia melibatkan pelbagai bangsa yang mendapatkan rawatan alternatif daripada sektor tradisional untuk merawat penyakit yang ada sesetengahnya bersifat kronik seperti strok, sakit tulang belakang dan sebagainya.

"Cukai yang dikenakan terhadap mereka memberi beban terhadap pesakit yang sudahpun menderita. Justeru pelaksanaan cukai terhadap sektor TCM ini perlu dikaji semula kerana ia turut merangkumi sektor kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan: