Pengkaji sastera bukan Melayu

Antara karya pengkaji sastera bukan Melayu yang pernah dihasilkan.
Antara karya pengkaji sastera bukan Melayu yang pernah dihasilkan.
A
A
A

DALAM tradisi kajian sastera Melayu, terdapat beberapa sumbangan daripada bukan Melayu yang menunjukkan pandangan dan dapatan mereka yang berbeza, malah luar biasa.

Kajian pertama dapat dikesan ialah Wong Seng Tong yang mengkaji Kritikan Sastera dalam Kesusasteraan Melayu Moden 1935-1955, yang dibuat sebagai memenuhi ijazah pertama di Universiti Malaya 1977.

Sebelum ini belum ada sebarang kajian terhadap perkembangan kritikan tanah air. Sebagai kajian pelopor dan pemula, ia memberi kesan kepada pengajian serta penyelidikan aspek kritikan tanah air.

Telah saya tulis dalam penulisan terdahulu, 1935 tarikh penting untuk kritikan. Buat pertama kalinya tulisan Keris Melayu ‘Ulasan Tun Sri Lanang dan Abdullah Munsyi’ termuat dalam Majalah Guru, 22 Ogos 1935.

Hashim Awang dan Rahman Shaari menerimanya sebagai penulisan yang mempunyai ciri-ciri kritikan meski struktur dan hujahannya sederhana.

Kritikan hanya mendapat kekuatan dan bentuknya yang diterima sebagai pemenuhan penciriannya ialah di tangan Asraf pada 1950-an.

Dengan itu ruang masa antara 1935-1955 yang dikaji oleh Seng Tong, kritikan baru sahaja bertapak. Malah lebih tepat ia berupa ulasan dan resensi, belum memiliki ciri-ciri kritikan sastera seperti yang ada pada hari ini.

Usaha berani yang dibuat Seng Tong dapat mengangkat martabat kritikan sastera Melayu moden.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peneliti berbangsa Cina ialah Li Chuan Siu yang menghasilkan buku Ikhtisar Sejarah Pergerakan dan Kesusasteraan Melayu Moden 1830-1945.

Zaman kajiannya ini mencakup penulisan Abdullah Munshi, Bapa Sastera Melayu Moden yang hasil karya dan penulisannya menggunakan teknik dan stail penulisan moden – lazimnya tidak terdapat dalam karya sastera Melayu lama.

Seorang pemberontak terhadap bentuk tradisi sebelumnya, dengan tema karyanya tidak lagi bersandarkan kepada cerita dongeng dan khayalan. Sebaliknya, karya beliau lebih terdedah kepada mesej bernuansa kritis, positif dan progresif.

Beberapa tahun kemudian, Chuan Siu membuat sambungan terhadap penelitiannya itu dengan menulis buku Ikhtisar Sejarah Pergerakan dan Kesusasteraan Melayu Moden 1945-1965.

Pendekatan yang digunakan ialah sejarah dan penelitian aspek dalamannya menggunakan pendekatan formalistik.

Kajian sastera di peringkat awal pertumbuhannya pada tahun 1960-an itu sangatlah kurang dilakukan. Dengan itu buku ini memberi sumbangan bermakna dalam kajian pertumbuhan dan perkembangan sastera tanah air.

Sumbangan Chuan Siu menjadi unik kerana dewasa itu penelitian sedemikian belum dilakukan oleh sarjana Melayu. Ia menjadi cabaran dan ikutan yang berguna kepada sarjana bagi menghasilkan buku kajian sastera.

Zaman moden

Liaw Yock Fang terkenal sebagai pengkaji sastera klasik tetapi ada juga menyumbangkan kajian dalam buku zaman moden iaitu sejarah kritikan Ikhtisar Kritikan Sastera.

Belum ada buku sastera klasik yang cukup lengkap seperti yang dihasilkan oleh Yock Fang.

Beliau menjadi sahabat saya semasa sama-sama bertugas di Singapura 2000-2010 di Universiti Nanyang. Kami berusaha menghasilkan buku Kritikan Sastera Singapura.

Atas permintaan Pustaka Nasional, saya diminta menghasilkan buku sejarah sastera klasik. Kebetulan saya mengajar kursus sastera klasik itu, lalu saya menyiapkan Sastera Melayu Klasik: Warisan Keemasan.

Yock Fang yang menjadi mentor saya. Lepas itu saya menulis pula Teras Sastera Melayu Klasik.

Kajian dalam sastera klasik mendapat banyak sumbangan daripada peneliti dari Rusia. Antaranya ialah penyelidikan yang dilakukan Boris Parnickel.

Tulisannya yang sangat berharga ialah Penelitian Sastera Nusantara di Rusia. Beliau juga yang membuat penelitian awal terhadap Hikayat Hang Tuah.

Menarik kajiannya terhadap watak yang selama ini dianggap menderhaka dan patut dinilai semula sebagai wira baharu, watak itu ialah Hang Jebat.

Mengaplikasikan teori sastera Marxisme dengan tema pertentangan kelas dalam realisme sosialis, pandangannya itu telah mengubah perspektif dan persepsi terhadap Hang Jebat.

Kassim Ahmad kemudiannya dalam Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah, 1973 telah menyambut idea yang dianggap dinamik dan progresif. Menerima Hang Jebat sebagai kemunculan wira baharu dan meninggalkan ketokohan Hang Tuah.

Usman Awang dalam dramanya yang cukup signifikan, Matinya Seorang Pahlawan mengisytiharkan kewiraan dan heroisme Jebat. Banyak karya dalam pelbagai genre kemudian menjulang nama Jebat.

Konsep estetika

Seorang lagi tokoh pengkaji Rusia ialah V Braginsky, dapatannya sering menjadi rujukan. Bukunya Erti Keindahan Dalam Kesusasteraan Melayu Klasik.

Beliau berpendapat dalam karya-karya sastera tradisional, berisikan konsep estetika yang sangat mantap.

Aspek estetika itu bersangkut paut dengan asal-usul keindahan atau sumbernya tercermin dalam penggantian istilah ‘indah’ dengan keesaan Ilahi.

Menurut Braginsky, pengertian ‘indah’ disepadankan secara tertentu dengan konsep ‘kekayaan ALLAH’.

Wujudnya istilah ‘indah’ menjadi alamat kuasa Ilahi yang tiada bertepi iaitu salah satu sifat jamal atau keindahan Maha Pencipta.

Seorang lagi tokoh asing yang menyumbang kepada perkembangan kritikan sastera Melayu ialah A Teeuw.

Beliau ialah pengkritik terkenal sastera Indonesia tetapi telah datang ke Kuala Lumpur untuk beberapa persidangan.

Antara lain beliau telah memberikan beberapa deskriptif tentang definisi dan konsep kritikan.

Beliau menekankan kritikan objektif, pengkritik seorang yang jujur, membina hubungan dengan pembaca sambil membantu pengarang berkarya.

Antara sumbangan pemikirannya yang sangat terkenal ialah mengangkat novel A Samad Said, Salina yang dikatakannya telah mencapai taraf antarabangsa.

Teeuw juga menjadi jambatan yang memperkenalkan tulisan Rene Wellek ke dalam sastera Melayu moden.

Kritikan pascamerdeka dekad 1960-an banyak bergantung kepada tulisan yang dikerjakan oleh Rene Wellek. Banyak bukunya tentang definisi, kaedah dan subjek kritikan menjadi pegangan.

Dekad ini sesiapa yang menguasai teori dan pemikiran Rene Wellek dikira sangat mahir dalam kritikan.

Kita mengingatkan tokoh pengkaji seperti Seng Tong, Chuan Siu, Yock Fang, Boris Parnickel dan Braginsky telah memberi sumbangan yang sangat bernilai untuk perkembangan sastera Melayu.

Kita akan berasa bertuah jika ramai bukan Melayu menceburkan diri dalam bidang kajian dan penelitian sastera Melayu, baik yang klasik mahupun moden.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia