Dua lelaki ceroboh rumah ditahan

Tangkap layar video dashcam berjaya merakam kelibat dua lelaki keluar daripada pagar rumah mangsa dan melarikan diri di Taiping.
Tangkap layar video dashcam berjaya merakam kelibat dua lelaki keluar daripada pagar rumah mangsa dan melarikan diri di Taiping.
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pencerobohan sebuah rumah di Taman Bukit Mas di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 37 dan 47 tahun itu dibuat selepas siasatan dijalankan sejak Selasa lalu.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang merupakan rakan ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur sekitar jam 11 pagi.

"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City warna merah yang disyaki kereta klon.

"Turut dirampas beberapa peralatan pecah rumah, telefon bimbit, beg tangan wanita dan mata wang asing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Razlam berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam jenayah dan dadah pada tahun 2017.

"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat di Mahkamah Majistret Taiping pada Ahad.

"Kita masih lagi mengesan seorang lagi rakan mereka yang turut terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan dua lelaki disyaki menceroboh rumah terbabit, Selasa lalu.

Kelibat dua suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Honda City berwarna merah itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sebelum tular di media sosial pada Jumaat.