Tulisan jawi: Perlu persetujuan 51 peratus ibu bapa, PIBG

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan dengan majoriti mudah 51 peratus ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Memetik laporan akhbar Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, tanpa persetujuan salah satu pihak sama ada ibu bapa atau PIBG, maka tulisan jawi tidak boleh dilaksanakan di sesebuah sekolah jenis kebangsaan (SJK).

“Pihak sekolah akan mengedarkan borang pilihan persetujuan kepada ibu bapa seperti yang dinyatakan dalam 'Garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi kepada murid Tahun Empat SJK mulai 2020.

“Jika anda lihat dengan teliti, dokumen berkenaan dengan jelas menyatakan PIBG perlu mengedarkan borang pilihan persetujuan kepada semua ibu bapa murid Tahun Empat dan membuat analisis berdasarkan jumlah borang yang dikembalikan tetapi PIBG masih mempunyai kuasa membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri satu dialog Belanjawan 2020 di Kuala Lumpur semalam.

Jelasnya, bagi sekolah yang tidak mempunyai PIBG, garis panduan bertarikh 20 Disember lalu itu jelas menyatakan Lembaga Pengelola Sekolah akan mengambil alih peranan PIBG.

Nie Ching turut meminta rakyat mengetepikan prejudis dan ketakutan yang tidak perlu kerana pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular tiada agenda tersembunyi dengan menganggap ciri sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) akan hilang susulan pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu.

Katanya, tiga muka surat tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat memperkenalkan tulisan jawi dalam jata negara, mata wang ringgit dan setem, manakala kandungan tulisan jawi Tahun Lima dan Enam pula berkaitan makna tulisan itu dalam pelbagai barangan kehidupan harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun tidak membantah pengenalan tulisan jawi kerana silibus tulisan itu dalam subjek Bahasa Melayu sama dengan sukatan pelajaran bahasa lain.

“Jadi, kami berpendapat dalam pembelajaran Bahasa Melayu, kami turut memperkenalkan sedikit pengetahuan mengenai sejarah bahasa Melayu.

“Kami berharap rakyat di negara ini boleh melihat isu pendidikan dari kaca mata dunia pendidikan,” katanya.