Kementerian kaji kos guna 'glow in the dark' di Jeli-Gerik

Alexander Nanta Linggi (tengah) diberi penerangan oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan JKR, Ir Mohd Nasir Bontat (kiri) ketika meninjau pemasangan jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di kawasan kejadian jalan mendap di laluan FT66 Seksyen 73.850 Jalan Dabong-Jeli hari ini. Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi (tengah) diberi penerangan oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan JKR, Ir Mohd Nasir Bontat (kiri) ketika meninjau pemasangan jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di kawasan kejadian jalan mendap di laluan FT66 Seksyen 73.850 Jalan Dabong-Jeli hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JELI - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melakukan kajian teliti terutama berkaitan kos sebelum menggunakan teknologi garisan bercahaya ketika waktu gelap atau 'glow in the dark' di laluan Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat keperluan untuk menggunakan garisan bercahaya itu kerana ia membantu menerangi jalan terutama pada waktu malam, namun kos pemasangan didapati terlalu mahal berbanding kaedah konvensional diguna pakai ketika ini.

“Produk itu bagus, cuma buat masa ini, kos cat glow in the dark ini mahal iaitu berharga RM749 semeter persegi berbanding RM40 semeter persegi bagi cat yang dipakai sekarang.

“Keperluan penggunaan cata teknologi itu ada, cuma kami perlu buat kajian dari segi kemampuan kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Kemajuan Pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular di Jalan Dabong – Jeli, pada Sabtu.

Sebelum ini, Jalan Sungai Lalang di Semenyih, Selangor menjadi laluan pertama di negara ini menggunakan kaedah berkenaan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat menjadi agensi pertama di bawah KKR yang mencuba teknologi jalan bercahaya dalam gelap.

Garisan jalan teknologi cat bercahaya digunakan di Semenyih, Selangor dan Alor Setar, Kedah. - Foto media sosial.
Garisan jalan teknologi cat bercahaya digunakan di Semenyih, Selangor dan Alor Setar, Kedah. - Foto media sosial.

Nanta menjelaskan, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada pengguna jalan raya di Jalan Sungai Lalang yang dipasang teknologi tersebut bermula pada November lalu.

Menurut beliau, selainnya kementerian itu turut melihat kepada aspek keselamatan pengguna jika cat glow in the dark digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita menggunakan teknologi itu dalam keadaan kos yang terlalu mahal, mungkin jarak jalan dicat akan menjadi pendek.

“Jadi, bahaya kalau tak digunakan sepanjang jalan dan harap pengeluran cat itu bertambah serta harga murah selepas ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini turut melaporkan, Jalan Padang Sanai ke Durian Burung di Padang Terap, Alor Setar, Kedah turut dipasang garisan jalan bercahaya sepanjang tiga kilometer sekali gus terpanjang di Malaysia yang siap pada Selasa lalu.