Paris 2024 penampilan terakhir Abu Samah?

Abu Samah tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut. Foto Bernama
Abu Samah tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut. Foto Bernama
A
A
A

JAGUH tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut.

Abu Samah berkata, usia mungkin menjadi faktor utama beliau memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Paralimpik, namun tetap bersedia mewakili negara jika diperlukan.

"Bagaimanapun, untuk temasya sukan lain seperti Sukan Para ASEAN mahupun Sukan Para Asia saya tak pasti, ia bergantung pada budi bicara Majlis Sukan Negara (MSN).

"Jika ikut faktor umur 40 tahun, atlet tenis kerusi roda tidak boleh terlalu bersungguh-sungguh kerana memerlukan daya tahan dan kekuatan tinggi,” kata atlet berusia 38 tahun itu kepada Bernama baru-baru ini.

Mengenai peluang beraksi buat kali ketiga di Sukan Paralimpik selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, Abu Samah berkata, beliau perlu memastikan dirinya berada dalam kelompok 32 terbaik dunia pada 15 Julai tahun ini untuk layak secara merit ke temasya berprestij itu.

Atlet kelahiran Tanjung Malim, Perak yang kini menghuni ranking ke-55 dunia itu berkata beliau akan mengumpul sebanyak mata dalam beberapa lagi kejohanan yang menawarkan mata ke Sukan Paralimpik Paris iaitu di Sri Lanka, Jepun dan Eropah.

Abu Samah yang membuat penampilan sulung di Rio 2016 selepas mendapat tiket wildcard, tersingkir pada pusingan pertama tewas kepada wakil Great Britain Alfie Hewett 0-6, 1-6.

Edisi Tokyo pula menyaksikan Abu Samah layak secara merit, memperbaiki prestasi dengan mara ke pusingan kedua sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Belanda Tom Egberink 0-6, 1-6.

Artikel Berkaitan:

Sukan Paralimpik 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September. - Bernama