Beri peluang Kerajaan Madani perintah hingga habis penggal - Hassan

Hassan
Hassan
A
A
A

PASIR GUDANG - Perikatan Nasional (PN) perlu bersikap konstruktif sebagai pembangkang dan bukan destruktif yang merosakkan amalan demokrasi di negara ini kerana berterusan mahu menubuhkan 'kerajaan pintu belakang'.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, walaupun perkara tersebut dibenarkan undang-undang tetapi akan merencatkan kestabilan politik menerusi Langkah Dubai yang sedang cuba direalisasikan.

Menurutnya, percaturan politik yang salah apatah lagi membelangkangkan kepentingan rakyat hanya akan merugikan negara.

"Sabar, kasihanilah dengan rakyat. Kalau nak jatuhkan kerajaan bukan dengan cara tarik sokongan terhadap kerajaan, ikut pintu belakang atau tebuk atap, tunggulah PRU (pilihan raya umum) akan datang.

"Kerajaan yang ada ini baru berusia setahun. Ada tiga atau empat tahun lagi, bolehlah nilaikan (prestasinya), kalau elok (rakyat) pilihlah semula kalau tak elok gantikan dengan yang lain, ada caranya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Menurut Hassan, PN perlu memberi peluang kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghabiskan penggalnya dan selepas itu jika masih tidak puas hati boleh memilih gabungan politik lain sebagai kerajaan baharu.

"Cukup-cukuplah, apa salah atau apa kelemahan kerajaan sekarang. Kerajaan sekarang cuba atasi dan buat yang terbaik. Kalau ada polisi yang lebih baik tunggulah PRU, dah menang nanti bolehlah laksanakan," ujarnya.

Katanya, menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini tidak wajar kerana terdapat pelbagai isu dalam negara yang memerlukan perhatian serta penyelesaian antaranya memulihkan ekonomi, menangani Covid-19, banjir dan kes denggi.

Artikel Berkaitan:

"Hormati dan kesian juga kepada Yang di-Pertuan Agong, kita pun nak ada peralihan kuasa daripada Yang di-Pertuan Agong sekarang kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru. Jadi biarlah dan bagi kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar menerajui kerajaan," katanya.