Jenazah Hamdan Senario selamat dikebumikan

Jenazah Hamdan tiba di Masjid Abu Ubaidah pada 10.10 malam disusuli solat jenazah yang disertai lebih 200 jemaah dan diimamkan oleh Imam Muhammad Saad. Foto Facebook Hafez Sabri
Jenazah Hamdan tiba di Masjid Abu Ubaidah pada 10.10 malam disusuli solat jenazah yang disertai lebih 200 jemaah dan diimamkan oleh Imam Muhammad Saad. Foto Facebook Hafez Sabri
A
A
A

[DIKEMASKINI] JENAZAH pelawak kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli, 54, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun dekat sini, malam Jumaat.

Sebelum itu van yang membawa jenazah Hamdan tiba di Masjid Abu Ubaidah pada 10.10 malam disusuli solat jenazah yang disertai lebih 200 jemaah dan diimamkan oleh Imam Muhammad Saad.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun untuk dikebumikan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran kira-kira 300 ahli keluarga, artis, penduduk setempat dan peminat yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir anggota kumpulan Senario yang lain termasuk Azlee, Wahid, Ilya dan Yassin.

Terdahulu, Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah Johor (HSA) akibat jangkitan kuman dalam darah selepas mengalami cirit-birit dan sesak nafas.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, serta empat orang anak Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.

Pada 1 Januari lepas, kumpulan Senario dilaporkan memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka Hamdan yang ditidurkan di HSA selepas mengalami komplikasi buah pinggang.

Artikel Berkaitan:

Hamdan sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru sempena sambutan Tahun Baharu 31 Disember lepas, namun persembahan itu terpaksa diteruskan tanpa kehadiran Allahyarham.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudiannya membentuk kumpulan Senario pada tahun 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Beliau pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022, Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3. - Bernama