Wan Ezila impi Akademi Kijang Muda dikenali

Allahyarham Wan Ezila
Allahyarham Wan Ezila
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas pemain kebangsaan dan legenda bola sepak Kelantan, Allahyarham Wan Ezila Wan Daud mempunyai impian akademi bola sepaknya dikenali di seluruh negara.

Rakan baik Allahyarham, Razali Yusof, 60, ketika dihubungi berkata, Wan Ezila seorang yang sangat meminati bidang bola sepak dan mahu melihat lebih ramai pelapis dalam bidang itu.

Razali (kanan) bersama Allahyarham Wan Ezila.
Razali (kanan) bersama Allahyarham Wan Ezila.

Razali memberitahu, hasrat itu juga diluahkan ketika kali terakhir mereka bertemu malam tadi yang mana Allahyarham mahu Akademi Kijang Muda menjadi pemangkin untuk tujuan tersebut.

"Saya pergi ke rumahnya di Lundang jam 9 malam dan sempat berbual kira-kira sejam berkaitan akademi itu.

"Arwah ada memberitahu mengenai program bola sepak dan latihan yang akan dijalankan hari ini (Jumaat) tetapi tidak menyangka dia pergi awal pagi tadi," katanya.

Pemergian bintang bola sepak berusia 59 tahun itu turut dikongsi di media sosial beberapa kelab penyokong bola sepak di negeri ini.

Razali memberitahu, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga Allahyarham awal pagi tadi memaklumkan Wan Ezila meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Wan Ezila (dua dari kanan) masih aktif dalam bola sepak dan melatih ramai pemain muda.
Wan Ezila (dua dari kanan) masih aktif dalam bola sepak dan melatih ramai pemain muda.

"Arwah sebelum itu ada mengadu sakit di bahagian perut dan saya berjanji akan mencari ubat yang mungkin boleh membantu mengurangkan sakitnya," katanya.

Razali yang mengenali Allahyarham lebih 50 tahun lalu menyifatkan rakannya itu seorang yang sangat komited dalam sukan bola sepak.

"Arwah melatih ramai kanak-kanak supaya dapat menjadi pelapis dan pemergiannya satu kehilangan besar dalam bola sepak," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC, Zahasmi Ismail memberitahu, menerima berita pemergian Wan Ezila kira-kira jam 3 pagi daripada seorang rakan mereka.

Gambar kenangan Allahyarham Wan Ezila (duduk, tengah) pada 1988.
Gambar kenangan Allahyarham Wan Ezila (duduk, tengah) pada 1988.

Jelas beliau, kali terakhir dia bertemu arwah dua hari lalu.

"Arwah bertindak sebagai jurulatih yang menggilap bakat skuad bawah 16 tahun," katanya.

Difahamkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Maras di sini.