Lima termasuk dua wanita didakwa tipu pinjaman dalam talian

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban diringi anggota polis.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban diringi anggota polis.
A
A
A

SEREMBAN - Lima individu termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud dalam talian, pada November tahun lalu.

Tertuduh, Lee Jia Re, 23; Jason Lee Lian Sheng, 25; Jass Lee Ying Xing, 19; Amiratul Najihah Abdul Malik, 21, dan Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM310 ke akaun milik seorang wanita untuk urusan mendapatkan pinjaman wang secara dalam talian.

Dua wanita antara lima individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban.
Dua wanita antara lima individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Senawang, Seremban pada 18 November 2023.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala, tertuduh diwakili peguam, Daljit Singh.

Artikel Berkaitan:

Nik Nur Aqilah kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik dan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 6 Februari ini.

Difahamkan kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Disember tahun lalu dalam satu serbuan di Sendayan dengan pelbagai barangan yang dipercayai bagi aktiviti penipuan berkaitan sindiket pinjaman tidak wujud.

Semakan mendapati terdapat 12 laporan polis telah dibuat oleh mangsa-mangsa berkaitan kes penipuan tersebut.