Langkah Dubai: Usaha tumbangkan kerajaan akan susahkan rakyat

Ramanan. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramanan. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR- Usaha 'jalan belakang' untuk menumbangkan Kerajaan akan hanya mengheret rakyat dalam situasi politik dan ekonomi yang tidak menentu serta tiada pengakhiran.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (2), Datuk R Ramanan berkata, pihak berkenaan seharusnya menunggu 'giliran' untuk membentuk kerajaan melalui pilihan raya bagi mendapatkan rakyat mandat dan seterusnya memimpin negara.

Menurutnya, beliau yakin Kerajaan mampu memulihkan ekonomi meskipun ia sedikit mengambil masa, namun ia akan menjadi sukar sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang terus bermain isu politik.

"Nak tumbangkan kerajaan tunggulah pilihan raya akan datang.

"Kalau kita hendak tumbang sini, tumbang sana akhirnya kita tumbangkan rakyat.

"Rakyat yang akan merasai kesan daripada keputusan itu (menumbangkan kerajaan sedia ada)," katanya selepas melakukan lawatan dan sesi taklimat khas ke Bank Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Langkah Dubai.

Berhubung laporan media yang melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan kerajaan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, perkara tersebut tidak perlu dibimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"(Muhammad) Sanusi ini keliru. Mula-mula dia cakap tiada Langkah Dubai, nak buat Langkah Chow Kit itu yang saya baca.

"Yang (bercakap) mahu tumbangkan, langkah ini Sanusi (jadi) kita tiada apa yang nak bimbang sebab dia keliru, dia tak faham apa yang berlaku.

"Jadi cukuplah bermain politik harap pihak pembangkang dia pergi bekerja sikit.

"Sanusi ada Kedah, suruh dia jaga Kedahlah tak payah jaga Dubai, Chow Kit semua," katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu berkenaan, namun beliau menegaskan ia tidak memberi kesan sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebelum ini menyifatkan 'Langkah Dubai' tidak memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan dan kekal fokus menerajui agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Muhammad Sanusi sebelum ini berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima ahli Parlimen PN.

Beliau berkata, kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama, namun memberi bayangan ia difikirkan bukan Langkah Dubai dan mungkin langkah Chow Kit kerana perkara itu mungkin dibincang di Kuala Lumpur atau lokasi lain dan dan menyifatkan Dubai itu 'dummy' sahaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!