Program Percuma Jer jadi taruhan stesen TV AlHijrah

Nadzariah (tiga dari kiri) bersama Ku Addy (enam dari kanan) ketika melancarkan program Percuma Jer pada Khamis
Nadzariah (tiga dari kiri) bersama Ku Addy (enam dari kanan) ketika melancarkan program Percuma Jer pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Program Percuma Jer iaitu satu program baharu yang menjadi taruhan stesen TV AlHijrah bakal disiarkan di stesen televisyen berkenaan bermula pada 1 Februari akan datang.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, menerusi program tersebut penonton berpeluang untuk mengurangkan risiko ketidakadilan, penipuan, penindasan dalam aktiviti perekonomian jual beli.

Nadzariah
Nadzariah

Ini kerana, ujarnya, penonton program Percuma Jer berpeluang untuk menerima sampel barangan tersebut dahulu secara percuma, seterusnya membuat keputusan tepat untuk proses jual beli selanjutnya.

"Saya percaya, proses pemberian sampel barangan (seperti mana produk yang dijual) secara percuma ini membantu para pembeli untuk membuat pembelian bijak.

"Secara tidak langsung, etika Islam dalam jual beli dapat dijaga dan dicapai dan dengan itu, kebajikan pelanggan dan pengguna terjamin dalam kontrak jual beli," katanya kepada pemberita di Sisik Medan Ikan Bakar di Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengasas Pasak Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin.

Program taruhan terbaharu TV AlHijrah ini juga sebagai menyahut Pelan Transformasi Al-Falah diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Bertumpu kepada Teras Kesejahteraan Insan, program ini diperkenalkan bagi memperkasa kemampanan ekonomi Islam disamping kebajikan sosial dan perpaduan ummah.

Program Percuma Jer yang dijadual bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada jam 6 hingga jam 7 petang adalah hasil cetusan idea dua organisasi iaitu TV AlHijrah dan Pasak Sdn Bhd.

Program terbaik yang menjanjikan kelainan ini memfokuskan pemasaran produk di kaca televisyen dengan konsep baharu.

Malah program ini adalah yang pertama kali seumpamanya di Malaysia dalam memberikan demonstrasi, promosi serta yang paling utama adalah sampel barangan percuma kepada penonton.

Menurut Nadzariah lagi, penonton boleh mendapatkan barangan sampel percuma di dalam rancangan tersebut hanya dengan mengikuti langkah-langkah mudah dengan menonton rancangan itu.

"Seterusnya, mereka perlu memuat turun aplikasi AlHijrah Plus di Apple Apps Store atau Google Play Store, setelah itu, mereka perlu mengimbas kod QR untuk memiliki barangan sampel dikehendaki.

"Akhir sekali, pemilik produk akan menghantar barangan sampel tersebut menggunakan syarikat kurier nasional kepada para penonton," katanya.

Beliau menambah, program Percuma Jer dihoskan Hanan Abdul Rahman, Ola Nordin dan Dewita Susila manakala program ini menawarkan lebih daripada 400 barangan sampel.

"Pelbagai jenis seperti barangan makanan, produk kecantikan dan kesihatan, barangan teknologi maklumat (IT) dan pelbagai lagi barangan sampel lain ditawarkan kepada penonton," ujarnya lagi.