Boleh minum air terus dari paip

No Image Caption
A
A
A

AIR merupakan khazanah alam yang sangat penting dan asas kehidupan serta kelangsungan pembangunan sosioekonomi.

Namun sejak beberapa dekad lalu, permintaan terhadap air semakin mendesak ekoran peningkatan populasi global, kepesatan aktiviti komersial dan perindustrian.

Lebih serius apabila perubahan iklim global telah mengakibatkan sumber air tawar menjadi semakin sukar untuk diperoleh sehingga mengakibatkan krisis di beberapa kawasan seluruh dunia.

Hal tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan Pembangunan Air Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2019 yang memberi gambaran negatif mengenai keadaan itu.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Mac 2019, penggunaan air global telah meningkat sebanyak 1 peratus setiap tahun sejak 1980 dan trend berkenaan dijangka berterusan hingga tahun 2050. Situasi itu sekali gus mencerminkan peningkatan kadar penggunaan air semasa antara 20 dan 30 peratus.

Laporan badan dunia tersebut turut menjangkakan keperluan sumber air terus meningkat berikutan bertambahnya permintaan.



TEKNOLOGI canggih yang diguna pakai Denmark seiring misi hijau demi menjadikan negara Scandinavia itu bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.
TEKNOLOGI canggih yang diguna pakai Denmark seiring misi hijau demi menjadikan negara Scandinavia itu bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.

Cara Denmark urus sumber air

Artikel Berkaitan:

Denmark merupakan satu-satunya negara yang wajar kita pelajari tentang cara untuk menguruskan sumber air kerana kualiti air di negara berkenaan dikatakan antara terbaik di dunia.

“Air boleh terus diminum dari paip di Denmark kerana lebih berkualiti berbanding air yang dibotolkan,” kata Penasihat Khas Sumber Air Agensi Perlindungan Alam Sekitar Denmark, Kim Madsbjerg.

Hakikatnya, situasi yang dikecapi hari ini amatlah berbeza berbanding 40 tahun lalu ketika Denmark menghadapi masalah pencemaran air yang mendorong kerajaan mengambil tindakan tegas menangani masalah perit itu. Perubahan yang cuba dilakukan sebenarnya Denmark tidak membuahkan hasil dalam waktu singkat.

Ini kerana usaha menguruskan sumber air memerlukan komitmen jangka panjang, selain pelaksanaan satu polisi alam sekitar yang progresif dan program kesedaran pendidikan, kata Madsbjerg.



KIM MADSBJERG
KIM MADSBJERG

Sementara itu, menurut Pengurus Komunikasi Kumpulan Syarikat Teknologi Air Grundfos, Dorte Maach, ketika kerajaan Denmark mula bertindak dan membuat keputusan untuk mengenakan tarif air yang lebih tinggi, ia dibantah oleh rakyat.

“Suatu ketika dahulu, harga air murah. Pada tahun 1980-an, kami biasanya akan membayar kira-kira DKK250 (RM155) sebulan bil air berbanding sekarang dengan purata isi rumah di Denmark membayar kira-kira DKK600 (RM371) sebulan. Ini termasuk cukai dan kos rawatan pelupusan sisa air,” katanya.

Berdasarkan rekod, di Malaysia, isi rumah di Lembah Klang membayar bil air mengikut penggunaan. Bagi penggunaan di bawah 20 meter padu (m3), tarif adalah 57 sen/m3, manakala 20-35 m3 RM1.03 /m3 dan 35 m3 dan ke atas RM2 /m3. Sementara kos bulanan rawatan air buangan ialah RM6 yang akan dibilkan secara berasingan.

Kesimpulannya, kita boleh lihat bahawa tarif air di Denmark antara yang termahal di dunia. Namun menurut Maach, tarif yang tinggi itu mencerminkan nilai dan kualiti sebenar air di negara itu selain mendidik pengguna kepentingan berjimat dan lebih menghargai sumber air.

Kerjasama

Kerajaan Denmark tidak akan berjaya menguruskan sumber airnya jika tidak mendapat sokongan pihak swasta.

Grundfos, salah sebuah syarikat pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar dan inovatif ke arah meningkatkan pengurusan serta kecekapan air di negara Scandinavia itu.

Misi jangka panjang syarikat adalah untuk menyumbang ke arah mewujudkan persekitaran lebih mampan dalam pengurusan air dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan Strategi 2025 yang dilancarkan pada Jun lalu.

Misi yang menjulang tinggi itu, secara khususnya mahu menjadikan Matlamat Pembangunan Mapan PBB #6 sebagai panduan iaitu - air bersih dan sanitasi dan #13 - memerangi perubahan iklim yang akan menyaksikan Grundfos berusaha mengurangkan separuh penggunaan air dan jejak karbon di negara itu sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2025.

“Kami menetapkan sasaran khusus penggunaan air dan komited mengurangkan penggunaan air sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2025. Kini kami sudah mencapai paras 34 peratus sejak 2008. Menjelang tahun 2030, kita akan lebih positif,” kata Naib Presiden Grundfos (Komunikasi, Hal Ehwal Awam Penglibatan & Tanggungjawab), Peter Trillingsgaard semasa taklimat di Bjerringbro, Copenhagen baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, Grundfos menggunakan sebanyak 430,700 meter padu air pada tahun 2018 iaitu berkurangan sebanyak 1.6 peratus berbanding 2017. Namun, dalam tempoh sama, kadar pengeluaran air syarikat itu meningkat sebanyak 6 peratus.

“Sebanyak 77 peratus daripada penggunaan air adalah dalam syarikat iaitu di tapak pengeluaran. Kami menumpu ke arah usaha untuk meningkatkan kecekapan penggunaan air dan menghasilkan sisa air berkualiti melalui proses penulenan,” katanya.

Menjelang tahun 2030, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menyediakan air minum yang diuruskan secara selamat kepada 300 juta orang. Di samping itu, melalui pengurusan air pintar, syarikat tersebut turut merancang untuk menyimpan sebanyak 50 bilion meter padu air tawar.



KAEDAH desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta.
KAEDAH desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta.

Pendekatan inovatif

Dengan populasi seramai 5.9 juta orang, punca utama sumber air negara Scandinavia itu adalah air bawah tanah dan kaedah bagi merawat air pula melalui proses pengudaraan dan penapisan.

Oleh kerana sumber air bawah tanah sentiasa dipelihara daripada tercemar berbanding air di daratan, maka kualiti air bawah tanah lebih baik sekali gus dapat meminimumkan usaha merawat.

Madsbjerg menjelaskan, pendekatan inovatif kerajaan Denmark adalah melaksanakan kaedah desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta (ada juga dikendalikan oleh masyarakat setempat) dan sekurang-kurangnya 78 jabatan air utama yang dimiliki oleh pihak perbandaran di seluruh negara.

Bagi memastikan kecekapan bekalan air, syarikat-syarikat air melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur air dan situasi itu secara tidak langsung mengurangkan kehilangan air iaitu kira-kira 7 peratus di peringkat nasional.

“Berbaloi melabur dalam infrastruktur air. Pengalaman kerajaan Denmark dalam menguruskan air membuktikan bahawa kita boleh mengurangkan penggunaan air tanpa mengehadkan pertumbuhan ekonomi dan inovasi juga sangat penting untuk meningkatkan kecekapan pengurusan air,” katanya.

Menurut beliau, secara purata penggunaan air setiap orang di Denmark hanya sekitar 104 liter sehari iaitu masih di bawah garis ketetapan PBB yang mencadangkan 165 liter sehari bagi keperluan asas harian setiap individu.



KAEDAH pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar serta inovatif ke arah meningkatkan pengurusan dan kecekapan air di negara Scandinavia itu.
KAEDAH pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar serta inovatif ke arah meningkatkan pengurusan dan kecekapan air di negara Scandinavia itu.

Sementara itu, data dari State of Green, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di Denmark yang menyokong masa depan dan kemampanan hijau dan menggalakkan inovasi hijau memaklumkan bahawa penggunaan air di Denmark telah menurun dengan ketara sebanyak 42 peratus sejak tahun 1980.

Dalam pada itu, Ketua Media State of Green, Iver Hoj Nielson berkata, dasar nasional yang jelas dan tegas penting untuk menentukan kejayaan misi hijau di Denmark.

Katanya, merujuk Perjanjian Tenaga Denmark 2012, dokumen itu bertujuan menjadikan Denmark bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.

Versi terbaharu, Perjanjian Tenaga Denmark Baharu yang dilancarkan pada Jun 2018, menekan dan mengukuhkan semula kedudukan iklim dan tenaga Denmark menjelang tahun 2030.

“Seluruh anggota Parlimen Denmark menyokong perjanjian ini. Meskipun ada perubahan dalam kalangan anggota politik atau kerajaan, dasar itu akan tetap dilaksanakan bagi memastikan kami mencapai matlamat yang ditetapkan menjelang 2050,” katanya.