Lupakanlah sahaja Guardiola

Xavi menggesa Guardiola melupakan hajat mempertahankan kejuaraan EPL sebaliknya fokus kepada Liga Juara-Juara.
Xavi menggesa Guardiola melupakan hajat mempertahankan kejuaraan EPL sebaliknya fokus kepada Liga Juara-Juara.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola disaran melupakan terus misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaliknya memberikan tumpuan kepada Liga Juara-Juara.

Bekas anak buah Guardiola di Barcelona, Xavi Hernandez berkata, pengendali dari Sepanyol itu kini seharusnya memberikan tumpuan meraih kejuaraan trofi berprestij kelab Eropah yang belum pernah dimenangi Manchester City.

“Guardiola dilahirkan sebagai seorang juara. Pasti menyakitkan baginya melihat Manchester City tertinggal jauh dari Liverpool di liga, dia tidak akan menyerah.“Tapi dia juga akan bersikap realistik kerana jurangnya ketika ini terlalu besar, dan kelihatan sukar bagi City meraih gelar EPL kali tiga. Pada saya kini seharusnya keutamaan diletakkan kepada Liga Juara-Juara,” kata Xavi.

Tambah Xavi, adalah lebih baik pada ketika ini skuad kendalian Guardiola membuat persediaan rapi bagi berdepan gergasi La Liga, Real Madrid pada Pusingan 16 Liga Juara-juara.

“Dua perlawanan menentang Real Madrid sudah menanti mereka dan mereka sudah boleh merehatkan beberapa pemain utama, yang tidak mungkin dapat dilakukan jika mereka terus fokus dalam misi mempertahankan gelaran liga.

“Guardiola tentu ingin memenangi semua trofi, namun jika anda bertanya kepadanya awal musim, saya yakin dia jawab dia lebih suka Liga Juara-Juara.

“Pada saya sebenarnya Guardiola sudah pun meraih semua trofi utama liga Inggeris bersama City, dia tahu bahawa memenangi Liga Juara-Juara akan membawa City naik ke satu tahap lain,” kata Xavi.

Isnin lalu, Manchester City berjaya menewaskan Sheffield United 2-0 sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Liverpool.

Artikel Berkaitan:

The Citizens dijadualkan menerima kunjungan Everton pimpinan Carlo Ancelotti di Stadium Etihad pada awal pagi Khamis.