Pesawat terbakar: 'Satu keajaiban semua penumpang terselamat'

Sebuah pesawat A350-900 Japan Airlines dilapor terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada Selasa.
Sebuah pesawat A350-900 Japan Airlines dilapor terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada Selasa.
A
A
A

TOKYO - Penerbangan antara bandar utara Sapporo dan Lapangan Terbang Haneda Tokyo adalah laluan udara paling sibuk di Jepun dan merupakan antara perkhidmatan paling kerap di mana-mana di dunia.

Syarikat penerbangan Japan Airlines (JAL) mengendalikan 16 penerbangan pergi balik sehari.

Bagaimanapun, apabila JAL516 mengikut laluan itu ke Haneda pada hari Selasa, apa yang berlaku ialah perlanggaran landasan yang mencetus kebingunan dalam kalangan pakar penerbangan dan proses pemindahan serta penyelamatan yang lancar disifatkan sesetengah pihak sebagai ajaib.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal melarikan diri dari pesawat Airbus A350 yang meletus menjadi bola api selepas bertembung dengan pesawat pengawal pantai yang lebih kecil sejurus selepas mendarat.

Menurut laporan, lima daripada enam kru pesawat pengawal pantai terbunuh.

Satoshi Yamake, 59, kembali ke ibu kota tempat dia bekerja dalam sektor telekomunikasi selepas melawat saudara-mara di kampung halamannya.

Fikirannya melayang kepada pertemuan semula dengan isterinya Mika ketika roda tergelincir di atas tar, sebelum diikuti bunyi geseran dan dentuman seraya dia menoleh untuk melihat enjin terbakar di luar tingkapnya.

Perlanggaran berlaku hampir serta-merta selepas mendarat pada 5.46 petang (0846 GMT), syarikat penerbangan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Kapten pesawat itu telah diberi kebenaran untuk mendarat tetapi berkemungkinan tidak dapat melihat pesawat peronda maritim Dash-8 buatan pengawal pantai yang lebih kecil Bombardier di bawah, kata eksekutif syarikat penerbangan berkenaan dalam sidang akhbar lewat malam tadi.

Menurut pihak berkuasa, mereka sedang menyiasat keadaan di sebalik nahas itu, yang menurut pakar penerbangan adalah sangat luar biasa.

Pernah menjadi masalah keselamatan yang berulang, industri penerbangan telah berjaya mengurangkan secara drastik jumlah kemalangan yang disebabkan oleh perlanggaran atau pencerobohan landasan sejak ketibaan pengesanan dan prosedur darat yang lebih baik.

Tangkap layar dari video yang dikongsi pengguna media sosial berkaitan kejadian pesawat terbakar di Lapangan Terbang Haneda. - Foto Agensi
Tangkap layar dari video yang dikongsi pengguna media sosial berkaitan kejadian pesawat terbakar di Lapangan Terbang Haneda. - Foto Agensi

Ketika jet penumpang terbabas untuk berhenti, kapten pesawat pengawal pantai, Genki Miyamoto, 39, menarik diri daripada serpihan dan menghantar radio ke pangkalannya.

"Pesawat itu meletup di landasan. Saya melarikan diri. (keadaan) anak kapal yang lain tidak diketahui," katanya.

Lima lagi kru, berusia antara 27 dan 56, meninggal dunia.

'Itu satu keajaiban'

Kabin jet penumpang mula dipenuhi asap manakala beberapa penumpang yang cemas mula mencari jalan menyelamatkan diri, tidak kurang ada yang berpaut pada kanak-kanak yang menjerit.

"Tolong bawa saya keluar dari sini," jerit seorang wanita dalam video yang dikongsi dengan Reuters dari dalam pesawat.

"Kenapa kamu tidak buka saja (pintu)," jerit seorang kanak-kanak.

"Saya benar-benar fikir saya akan mati," kata seorang penduduk Tokyo, Tsubasa Sawada, 28, yang baru pulang dari bercuti di Sapporo bersama teman wanitanya.

"Selepas kemalangan itu berlaku, saya pada mulanya ketawa kecil apabila dapat melihat beberapa percikan api keluar (daripada enjin) tetapi apabila api mula marak, saya menyedari ia berbahaya."

Dalam masa sama, anak-anak kapal menggesa penumpang supaya bertenang sambil berkata: "Tolong beri kerjasama," menurut video yang dikongsi dengan Reuters.

Sementara di luar pesawat pula, 115 unit pemadam kebakaran dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran yang bermula di bahagian belakang pesawat dan akhirnya menyambar seluruh pesawat.

Yamake, yang duduk di bahagian hadapan pesawat berkata, walaupun beberapa penumpang berasa sangat cemas, anak kapal dengan cepat mengerahkan pelungsur pemindahan dan orang ramai mula turun dengan teratur.

Syarikat penerbangan itu berkata, pemindahan bermula sejurus selepas pesawat itu terhenti dan semua penumpang dibawa ke tempat selamat dalam tempoh kurang 20 minit.

Rakaman video menunjukkan penumpang dipindahkan dengan tenang tanpa membawa sebarang bagasi tangan. Agensi keselamatan penerbangan telah memberi amaran bahawa tindakan mengambil bagasi semasa proses pemindahan boleh membahayakan nyawa.

"Krew kabin sudah melakukan tugas yang sangat baik. Sepertinya tiada barang yang dibawa turun bersama. Ia adalah satu keajaiban apabila semua penumpang turun dengan selamat," kata pengarah keselamatan udara di syarikat perundingan penerbangan, Ascend by Cirium berpangkalan di United Kingdom, Paul Hayes.

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Jepun pada taklimat media berkata, prosedur pemindahan mangsa nahas oleh kru syarikat penerbangan itu dijalankan dengan sewajarnya.

Sawada berkata, sekitar 10 minit selepas kesemua penumpang turun, berlaku letupan di dalam pesawat.

“Saya hanya boleh katakan ia satu keajaiban, kami boleh mati jika kami lewat.

"Saya ingin tahu mengapa ini berlaku dan saya rasa saya tidak mahu menaiki kapal terbang lagi,” ujarnya. - REUTERS/AWANI