Belum masanya bercakap mengenai kejuaraan EPL - Van Dijk

Van Dijk percaya pasukan lain turut mempunyai peluang sama rata untuk mencabar kejuaraan EPL musim ini.
Van Dijk percaya pasukan lain turut mempunyai peluang sama rata untuk mencabar kejuaraan EPL musim ini.
A
A
A

KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk tidak berminat untuk memperkatakan mengenai peluang pasukannya memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Van Dijk berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perkara tersebut selain percaya pasukan lain turut mempunyai peluang sama rata untuk mencabar kejuaraan musim ini.

"Saya tidak akan bercakap mengenai perkara ini, saya tidak pernah melakukannya dan saya juga tidak akan melakukannya sekarang.

“Masih terlalu awal untuk berbuat demikian. Kami berada pada awal Januari dan beberapa pemain tidak akan bersama kelab sekarang.

“Jika pada Februari atau Mac kami masih berada di kedudukan teratas liga, kami perlu terus kekal konsisten, tetapi buat masa ini kami hanya fokus pada perlawanan akan datang.

“Itulah pengalaman yang sentiasa berlaku dan ia membawa kami meraih satu kejayaan sepanjang enam tahun lalu untuk memenangi Liga Perdana dan kami akan melihat apa yang berlaku pada penghujung musim ini," katanya.

Kemenangan 4-2 ke atas Newcastle memperluaskan kelebihan mereka di puncak carta liga kepada tiga mata ke atas pencabar terdekat Aston Villa.

Januari adalah bulan yang berliku buat pasukan kendalian Jurgen Klopp itu kerana mereka bertarung dalam tiga kejohanan bermula perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal pada hujung minggu diikuti dengan dua perlawanan separuh akhir Liga Inggeris menentang Fulham.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka juga akan menghadapi aksi EPL menentang Bournemouth ketika bakal kehilangan Mohamed Salah yang akan bersama pasukan kebangsaan Mesir ke Piala Negara-Negara Afrika.

Ketiadaan Salah selepas mencipta 14 gol liga dan lapan bantuan gol sudah pasti akan dirasai tetapi menjadi tugas Klopp untuk mengatasi perkara tersebut.

Dia sekurang-kurangnya mempunyai Diogo Jota yang kembali cergas selepas sebulan direhatkan manakala pemain tengah, Alexis Mac Allister kembali selepas enam perlawanan akan turut mengimbangi kehilangan Wataru Endo ke Piala Asia.