Pelabur asing terus beli di Bursa Malaysia pada minggu terakhir 2023

Skrin paparan carta saham di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad. Foto fail Bernama
Skrin paparan carta saham di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad. Foto fail Bernama
A
A
A

MINAT kalangan pelabur asing terhadap ekuiti Malaysia berlarutan selama tiga minggu berturut-turut apabila mereka membeli bersih saham bernilai RM165.3 juta di Bursa Malaysia minggu lepas.

Menurut penyelidikan oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd, pasaran utama mencatatkan kenaikan pada minggu terakhir 2023, dirangsang oleh unjuran dasar pertengahan Disember oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang menunjukkan penurunan kadar yang ketara bagi tahun ini.

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguan, bank pelaburan itu menjelaskan semasa minggu dagangan singkat (Isnin ialah cuti perayaan Krismas), pelabur asing membeli bersih ekuiti bernilai RM85.2 juta pada Rabu dan RM187.9 juta pada Khamis namun menjual bersih nilai ekuiti bernilai RM50.3 juta pada Selasa dan RM57.5 juta pada Jumaat.

"Bagi minggu itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah teknologi (RM213.1 juta), tenaga (RM45.0 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM37.0 juta),” tambahnya.

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM93.5 juta), penjagaan kesihatan (RM59.8 juta) dan pembinaan (RM27.8 juta).

Bagi Disember 2023, pelabur asing membeli bersih untuk bulan kedua berturut-turut pada RM256.1 juta (November 2023: RM1.55 bilion).

Bagi pelabur institusi tempatan, mereka terus menjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut pada RM189.6 juta, iaitu 77.7 peratus lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

"Mereka bersih membeli RM21.0 juta pada Selasa dan RM58.9 juta pada Jumaat namun menjual bersih RM66.9 juta pada Rabu dan RM202.7 juta pada Khamis,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peruncit tempatan bersih membeli RM4.3 juta minggu lepas, selepas jualan bersih dalam dua minggu sebelumnya.

Mereka membeli bersih RM29.3 juta pada Selasa dan RM14.8 juta pada Khamis, namun menjual bersih RM18.4 juta pada Rabu dan RM1.4 juta pada Jumaat.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan 11.6 peratus dari segi jumlah dagangan harian purata dalam kalangan institusi tempatan, manakala peruncit tempatan dan pelabur asing mengalami penurunan masing-masing sebanyak 4.3 peratus dan 22.0 peratus. - Bernama