'Sebak, banjir tiap tahun dah macam sebati'

Penduduk meredah air bah dengan membawa barangan keperluan untuk ke tempat lebih selamat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Belimbing Jongok Batu, Dungun pada 25 Disember lalu. - Foto: Bernama
Penduduk meredah air bah dengan membawa barangan keperluan untuk ke tempat lebih selamat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Belimbing Jongok Batu, Dungun pada 25 Disember lalu. - Foto: Bernama
A
A
A

TRAGEDI banjir besar di Malaysia ibarat sudah sebati dengan semua penduduk.

Bukan apa, berdasarkan laporan sejak beberapa tahun ini, bencana ini sering terjadi di beberapa negeri Pantai Timur terutamanya pada November dan Disember, malah beberapa kawasan di negeri lain turut terjejas.

Merak Jalanan masih hairan mengapa bencana yang boleh dikatakan diramal masih gagal ditangani.

Ya, tragedi ini berlaku setiap tahun, namun seperti tiada perubahan yang boleh dilihat dalam mengurangkan kerugian.

Nampak seperti remeh, hanya banjir sahaja.

Tapi secara faktanya bencana ini boleh meragut nyawa, kehilangan harta benda selain emosi mangsa terganggu.

Apabila Merak Jalanan lihat laporan media tempatan di lokasi bencana banjir ini memang sangat menyedihkan kerana banyak situasi menyayat hati berlaku.

Mana tidaknya, ada ibu yang kesedihan menggendong bayinya, warga emas diusung, ternakan seperti lembu dan kambing mati dan bermacam lagi.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, Merak Jalanan tetap 'respect' dengan petugas operasi yang terlibat antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pasukan sukarelawan.

Mereka ini bersengkang mata dengan kudrat membantu mangsa banjir tanpa kira darjat asalkan mangsa ini diselamatkan.

Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan negeri-negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir fasa pertama November ini berdasarkan ramalan cuaca.

Sarawak adalah negeri paling banyak mempunyai hot spot banjir iaitu 1,066 diikuti Sabah (798), Johor (745), Pahang (750) dan Kelantan (617) yang merupakan dua negeri dari Pantai Timur.

Merak Jalanan berharap pihak berwajib laksanakan sebaiknya penambahbaikan sistem perparitan atau apa sahaja agar banjir dapat ditangani dengan baik.