Pekerja asing maut terkena renjatan elektrik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pekerja warga asing maut terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja kimpalan di sebuah tapak pembinaan di sini, pada Sabtu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, sepasukan pegawai penyiasat telah menuju ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kejadian kemalangan tersebut.

Menurut kenyataan itu, daripada siasatan awal dijalankan, mangsa merupakan pekerja subkontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan 'ducting' dan kerja perpaipan di tapak pembinaan tersebut.

"Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri oleh rakan mangsa yang menyedari mangsa telah tergantung di atas scissor lift.

"Rakan sekerja mangsa telah membawa turun mangsa dan membawa mangsa keluar dari tapak pembinaan tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak Hospital Pulau Pinang, mendapati mangsa terkena renjatan elektrik.

Katanya, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja pemasangan ducting dan perpaipan di tapak pembinaan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Dalam pada itu, JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan," katanya.