Polis masih dalam proses ambil keterangan penganjur piket 'Kepung Demi Palestin’

Peserta piket 'Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin' berkumpul sambil mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Peserta piket 'Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin' berkumpul sambil mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih dalam proses mengambil keterangan penganjur piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’, bagi membantu siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebaik proses mengambil keterangan selesai, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Piket yang diadakan selama enam hari itu keseluruhannya berlangsung secara terkawal dan penganjur memberikan kerjasama kepada polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Para peserta himpunan ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ berarak dari Menara Tabung Haji hingga ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Para peserta himpunan ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ berarak dari Menara Tabung Haji hingga ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Sebelum ini Allaudeen berkata, pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan asing di negara ini.

Beliau berkata, piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ itu, tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan perhimpunan terbabit.

Piket itu ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan kira-kira 21,822 rakyat Palestin setakat 31 Disember lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat itu, sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Artikel Berkaitan:

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine. - Bernama