Mat Sabu sebak cerita kisah kekejaman Israel

Mohamad ketika berucap pada malam kemuncak piket aman 'Kepung Demi Palestin' berhadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak pada Ahad.
Mohamad ketika berucap pada malam kemuncak piket aman 'Kepung Demi Palestin' berhadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak dapat menahan sebak sewaktu memberikan ucapan pada malam kemuncak piket aman 'Kepung Demi Palestin' berhadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad.

Beliau kelihatan sedih dan mengalirkan air mata ketika membicarakan tentang pembunuhan kejam yang dilakukan terhadap kanak-kanak dan penduduk awam Gaza.

“Berapa orang jururawat, doktor dan wartawan yang rejim Zionis itu sudah bunuh, sebenarnya kamu perang dengan siapa, sebab itu isu Palestin sudah jadi isu kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Siapa yang mereka bunuh? Lebih kurang 22,000 penduduk Gaza dibunuh, dua per tiga daripadanya merupakan kanak-kanak dan wanita.

"Kanak-kanak menjerit mencari makan setiap hari, menjerit mencari ibu dan bapa mereka yang sudah mati dibunuh, di depan kononnya simbol Amerika Liberty, saya harap kedutaan AS di sini laporkanlah kepada pemimpin kamu bahawa dunia sudah benci kepada kamu, melainkan kamu tamatkan segera segala penderitaan rakyat Palestin," tegasnya.

Jelasnya lagi, selama lebih tiga bulan Israel masih menggunakan alasan memburu pejuang jihad Islam yang akhirnya membunuh puluhan ribu rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Sebenarnya Israel telah kalah, mereka bertarung dengan Hamas kumpulan jihad. Mereka gagal hapuskan Hamas mereka rancang dalam masa seminggu untuk lanyak sekarang sudah tiga bulan, Hamas tak dapat dikalahkan," katanya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, kempen Anti Israel dan AS yang sedang giat berlangsung kini tidak menjejaskan hubungan diplomasi antara Malaysia dengan AS.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama hubungan diplomatik Malaysia adalah seperti biasa dengan komuniti dunia.

"Tetapi kita kena buat teguran, seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kita tak mengundi bersama Amerika dan soal diplomatik soal lain.

"Rusuhan dan kempen tunjuk perasaan berlaku di seluruh dunia. Memang semua orang tahu. Rejim Israel sudah kalah, kalau AS tarik sokongan esok Israel akan adakan gencatan senjata," katanya.

Mohamad berkata, sikap kerajaan AS yang terus mendukung Israel tidak dipersetujui oleh rakyat Malaysia.

"Saya yakin kemanusiaan akan menang apabila Eropah, AS, Asia semuanya bersatu menolak kezaliman Zionis Israel dan negara Palestin akan merdeka tidak lama lagi," katanya.

Piket secara aman yang diadakan selama enam hari itu mencipta sejarah tersendiri apabila penganjur berjaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk mendirikan khemah meskipun pada mulanya mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Solidariti di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mengesahkan antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Malaysian Women's Coalition for Al-Quds and Palestine.