X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin dan kanak-kanak, wajib atau tidak?

Vaksin menjadi satu keperluan terhadap kanak-kanak kerana ia mampu mencegah atau mengelakkan komplikasi berat pelbagai jenis penyakit berjangkit yang berbahaya.
A
A

SAMA ada di Malaysia mahupun negara luar, ancaman penyakit berjangkit berisiko untuk bayi dan kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa.

Bagaimanapun, pengetahuan, sikap peka dan persediaan ibu bapa dalam menghadapi ancaman penyakit menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan.

Usah ambil mudah sekiranya anak anda mengalami demam, selesema, sakit perut mahupun batuk kerana ia mungkin petanda awal bagi penyakit berjangkit yang membawa risiko ke arah lebih serius sehingga memerlukan rawatan segera doktor.

Ikuti temu bual ekslusif wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya bersama Pakar Pediatrik Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Senthil Kumaran.

Apakah imunisasi dan vaksin?

DR SENTHIL: Imunisasi ialah daya tahan jangkitan terhadap bakteria atau virus tertentu, manakala vaksin ialah nama bahan atau ubat yang terdiri daripada virus yang sudah mati atau sudah dilemahkan atau sebahagian daripada bakteria mahupun toksin daripada bakteria tersebut yang sudah dilemahkan.

Tujuan diberikan vaksin supaya sistem imun atau daya tahan/daya lawan jangkitan akan membina antibodi terhadap jangkitan kuman tersebut.

Adakah vaksin terhadap kanak-kanak adalah satu keperluan?

DR SENTHIL: Ya. Vaksin menjadi satu keperluan terhadap kanak-kanak kerana ia mampu mencegah atau mengelakkan komplikasi berat daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang berbahaya.

Apakah vaksin yang disyorkan kepada kanak-kanak?

DR SENTHIL: Vaksin yang disyorkan kepada kanak-kanak buat masa ini bagi kerajaan Malaysia, kita sudah mendapat vaksin untuk penyakit seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, pertussis, tetanus, polio, haemophilus influenzae type B, measles (campak), mumps (beguk), rubella dan human papillomavirus HPV. Ia untuk bayi baru lahir sehinggalah berumur 18 bulan dan ketika di peringkat sekolah bermula tujuh hingga15 tahun. Ia adalah vaksin yang wajib diberikan kepada kanak-kanak dan disediakan kerajaan secara percuma.

Vakzin lain secara tambahan lebih bagus kalau diambil dan diberi perlindungan kepada kanak-kanak, antaranya vaksin jenis pneumococcal, influenza, chicken pox, hepatitis A, meningococcal dan rotavirus. Ini antara inisiatif ibu bapa untuk mengambil perlindungan tambahan di klinik atau hospital swasta.

Mengapa imunisasi perlu diberikan ketika bayi baharu dilahirkan?

DR SENTHIL: Bayi mempunyai daya tahan terhadap jangkitan yang lemah berbanding orang dewasa, jadi golongan bayi berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang serius sekiranya mendapat jangkitan kuman. Bayi memerlukan bantuan untuk meningkatkan imunisasi mereka, jadi kita beri bantuan melalui pemberian vaksin.

Sebab itu, ketika bayi dilahirkan, mereka diberikan dua jenis suntikan untuk menguatkan imunisasi.

Dr Senthil (dua dari kiri) seorang yang mesra dan mudah didekati di Hospital Pantai Laguna Merbok, Sungai Petani.
Dr Senthil (dua dari kiri) seorang yang mesra dan mudah didekati di Hospital Pantai Laguna Merbok, Sungai Petani.

Adakah vaksin memberi perlindungan 100 peratus terhadap penyakit cegahan vaksin?

DR SENTHIL: Perlindungan vaksin bukan 100 peratus. Setiap orang memberi reaksi badan secara berbeza-beza terhadap pemberian vaksin. Ada sesetengah orang, reaksi tubuh sistem imunnya tidak optimal dan perlindungannya tidak begitu menyeluruh tetapi ia lebih baik daripada tiada vaksin langsung. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai perlindungan sedikit yang dapat mengelakkan komplikasi serius sekiranya mendapat jangkitan. Individu ini masih boleh mendapat jangkitan kuman walaupun telah mendapatkan perlindungan vaksin tetapi mungkin penyakitnya lebih ringan dan tidak ke arah komplikasi yang lebih serius.

Bukankah daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik daripada imunisasi?

DR SENTHIL: Badan kita secara semula jadi mempunyai sel-sel yang dikenali sebagai sel imun untuk melawan penyakit dan kuman tetapi ia tidak terbentuk secara spesifik terhadap kuman-kuman tertentu. Sel-sel imun semula jadi ini berguna untuk melawan kuman yang biasa ditemui di persekitaran kita tetapi tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk melawan jangkitan kuman yang berbahaya, contohnya kuman polio, difteria dan sebagainya. Untuk melawan kuman berbahaya ini, kita memerlukan sel imun atau antibodi yang spesifik.

Untuk mendapatkan sel imun yang spesifik bagi kuman tertentu secara semula jadi, pertama, kita perlu harus dijangkiti kuman tersebut terlebih dahulu dan menjalani proses penyembuhan tetapi proses ini membawa risiko komplikasi serius atau kematian terutama pada kanak-kanak. Pemberian vaksin dapat menimbulkan imuniti yang setara dengan proses jangkitan dan penyembuhan tanpa perlu mengambil risiko yang ditimbulkan oleh penyakit tersebut.

Mengapa sesetengah vaksin perlu diberikan beberapa kali?

DR SENTHIL: Difteria, hepatitis, tetanus, haemophilus influenza dan polio biasanya diberi secara kombinasi, juga vaksin measles, mumps, rubellla (MMR) banyak juga perlu diberi beberapa kali. Kadang-kadang bila diberikan sekali sahaja, antibodi yang diberikan tidak cukup untuk dia bertahan lama. Pemberian ulang ini juga bertujuan merangsang tubuh kita membentuk lebih banyak antibodi supaya ia bersedia terhadap kemungkinan dijangkiti kuman tersebut pada masa hadapan.

Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diperolehi dari imunisasi?

DR SENTHIL: Bergantung kepada vaksin tersebut. Ada sesetengah vaksin boleh bertahan seumur hidup, ada yang bertahan dalam tempoh 30 tahun. Selepas itu, badan perlu diberikan perlindungan semula untuk mendapat daya tahan bagi melawan sesetengah jangkitan.

Terdapat terlalu banyak vaksin untuk kanak-kanak, tidakkah sistem daya lawan jangkitan anak dirasakan terlalu beban?

DR SENTHIL: Ibu bapa tidak perlu risau dengan terlalu banyak vaksin untuk kanak-kanak kerana daya lawan jangkitan kanak-kanak boleh memberi reaksi kepada banyak keadaan. Kanak-kanak yang berdepan penyakit yang melemahkan sistem imun, contohnya AIDS, tidak boleh diberikan vaksin-vaksin tertentu. Ini akan dikenalpasti oleh pengamal perubatan. Bagi kanak-kanak sihat yang lain, pemberian pelbagai jenis vaksin adalah selamat dan tidak membebankan sistem imun mereka.

Adakah vaksin memberi kesan sampingan?

DR SENTHIL: Kesan sampingan vaksin jarang ditemui. Kesan sampingan yang ringan seperti demam, sakit dan kemerah-kerahan di tempat yang disuntik. Ia akan hilang atau dapat dirawat dalam tempoh yang singkat dan tidak memberi kesan berpanjangan.

Kesan sampingan vaksin yang berat adalah sangat jarang, kemungkinan satu dalam sejuta. Kesan yang dimaksudkan adalah seperti reaksi alahan terhadap vaksin tersebut yang menyebabkan kesukaran bernafas atau badan membengkak. Sekiranya kanak-kanak tersebut tidak diberi vaksin, risiko untuk mendapat komplikasi serius atau kematian akibat penyakit cegahan vaksin adalah jauh lebih besar ( satu dalam seribu)

Benarkah sesetengah vaksin itu tidak halal?

DR SENTHIL: Ya, benar ada sesetengah vaksin dibuat daripada sumber tidak halal dan ia telah dikenal pasti serta tidak berikan kepada Muslim. Namun, vaksin yang disediakan Kementerian Kesihatan adalah daripada sumber halal dan kerajaan sangat mengambil berat perkara ini.

Apakah saranan terhadap golongan ibu bapa yang masih ragu dengan perlindungan vaksin yang diberikan terhadap anak-anak?

DR SENTHIL: Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan atau berasa takut dan ragu-ragu, mereka boleh mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan yang diiktiraf dan bukannya melalui sumber tidak sahih mahupun laman sosial dan sebagainya. Vaksin telah digunakan lebih 80 tahun di seluruh dunia dan terbukti keberkesanannya. Saya juga nasihatkan ibu bapa yang terlepas jadual suntikan imunisasi dan ingin mendapatkan semula perlindungan untuk anak-anak, boleh tampil segera ke mana-mana klinik atau pusat kesihatan sewajarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!