Serangan BLB, 60 pesawah tanggung kerugian RM500,000

Tajuddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan sawah padi yang mengalami serangan penyakit BLB di Parit 10 Permatang Pelanduk pada Ahad.
Tajuddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan sawah padi yang mengalami serangan penyakit BLB di Parit 10 Permatang Pelanduk pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Lebih 60 pesawah di kawasan Mukim Labu Kubong dekat Sungai Manik di sini terpaksa berputih mata apabila 120 hektar tanaman padi musnah akibat serangan penyakit hawar daun bakteria (BLB) sejak sebulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan pengeluaran hasil padi di kawasan tersebut jatuh merundum berbanding musim sebelumnya dengan kerugian mencecah RM500,000.

Pengusaha sawah padi, Ibrahim Shah Ahmad, 70, berkata, serangan kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan bendang mukim berkenaan.

Dari kiri: Ibrahim Shah, Mohd Syukri dan Samsudin.
Dari kiri: Ibrahim Shah, Mohd Syukri dan Samsudin.

Dia yang mengusahakan sawah padi secara sewaan di tapak seluas 4.8 hektar langsung tidak dapat menikmati tuaian hasil musim ini apabila kesemua tanaman padinya rosak menjadi padi hampa.

"Selalunya kita boleh dapat hasil padi tidak kurang 18 tan, tetapi disebabkan serangan penyakit ini, nak dapatkan dua tan pun susah.

"Saya sudah belanjakan hampir RM18,000 untuk kos membaja, meracun dan sebagainya, itupun melalui pinjaman daripada Agro Bank.

"Dengan pendapatan hasil padi kali ini terjejas teruk, sukar untuk saya dan pesawah lain berdepan penanaman padi musim baharu kerana sudah ketiadaan modal," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Aduan isu itu disuarakan pesawah kepada Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Samsudin memeriksa pokok padi terkena serangan penyakit BLB yang diusahakan di Parit 10 Permatang Pelanduk.
Samsudin memeriksa pokok padi terkena serangan penyakit BLB yang diusahakan di Parit 10 Permatang Pelanduk.

Seorang lagi pesawah, Samsudin Mohamed Jalani, 54, mengakui hilang pendapatan RM15,000 setelah 3.2 hektar padi di Parit 10 Permatang Pelanduk dan Parit 9 Labu Kubong diusahakannya terjejas akibat serangan penyakit itu.

Bapa kepada empat anak itu berkata, hasil padi itulah yang selama ini digunakan untuk menyara mereka sekeluarga termasuk perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Rata-rata penduduk di sini mengusahakan sawah padi, tidak ada pendapatan lain, jadi bila berlaku kes sebegini, kami sebagai pesawah amatlah terkesan.

"Mana nak bayar pinjaman bank, sewa bendang, itu tidak termasuk belanja rumah dan persekolahan anak-anak," katanya.

Mohd Syukri Daud, 37, pula berkata, serangan terburuk kali ini berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya masalah pengairan air buang serta kekerapan hujan.

Ujarnya, saliaan air buang yang terganggu mengakibatkan air di petak sawah terlampau dalam menyebabkan batang padi menjadi lembut dan mudah diserang penyakit.

"Serangan BLB tidak seperti penyakit lain macam ulat batang. Penyakit ini menyerang ketika pokok padi memasuki hari ke 70 hingga 75 dan lebih mudah merebak dengan cepat.

"Cuma malangnya, dari dulu sampai sekarang, serangan penyakit ini tiada ubatnya," katanya.

Pokok padi yang mengalami serangan penyakit BLB tidak dapat dituai.
Pokok padi yang mengalami serangan penyakit BLB tidak dapat dituai.

Sementara itu, Tajuddin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, serangan penyakit ke atas tanaman padi bukan perkara baharu, namun sehingga kini tiada penyelidikan dilakukan dapat membantu mengatasi isu tersebut.

"Bila jadi macam ini, pesawah dan ahli keluargalah yang terpaksa menanggungnya.

"Jadi jabatan terlibat seperti Jabatan Pertanian, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) hinggalah IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) kena beri perhatian lakukan penyelidikan sewajarnya kerana ini membabitkan periuk nasi mereka," katanya.