Perokok di Jeli patuh arahan

Tiada sebarang notis dikeluarkan di daerah ini pada hari pertama pelaksanaan larangan merokok di kedai makan.
Tiada sebarang notis dikeluarkan di daerah ini pada hari pertama pelaksanaan larangan merokok di kedai makan.
A
A
A

JELI - Perokok di daerah ini dilihat mematuhi larangan merokok di kedai makan yang berkuatkuasa mulai hari ini.

Menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok di daerah Jeli, hari ini, tiada sebarang notis dikeluarkan.

Operasi di hari pertama yang melibatkan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, Majlis Daerah Jeli serta Persatuan Penjaja Daerah Jeli ini dijalankan di 20 premis dan ia berjalan dengan lancar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr Amirul Abu Hassan berkata, rata-rata penduduk di daerah itu mematuhi larangan yang dikeluarkan.

Menurutnya, diharap situasi itu dapat dikekalkan sekaligus mencatat daerah 'zero notis' sepanjang pelaksanaan larangan ini.

"Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

"Kesalahan pertama boleh dikompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun.

"Kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun malah kompaun lebih tinggi iaitu RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirul berkata, kerjasama dan sokongan semua pihak terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah amat diperlukan.

"Ianya perlu bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau) 2004 bermula 1 Januari 2020, berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Bagi yang mahu berhenti merokok, mereka dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok, mQuit yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara.

"Selain itu, mereka juga boleh mengunjungi mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi," katanya.