SPRM siasat Tun Daim berdasarkan maklumat Kertas Pandora

Tun Daim
Tun Daim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari lalu.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Daim mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

"SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

"Pada 7 Jun 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut," jelas kenyataan berkenaan pada Sabtu.

Jelas SPRM lagi, Tun Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali.

Sitaan bangunan Menara Ilham oleh SPRM adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.
Sitaan bangunan Menara Ilham oleh SPRM adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.

"Beliau kemudiannya telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

"Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, pendakwa raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, Tun Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"Bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

"Mana-mana individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah," katanya.

SPRM menegaskan, pihaknya merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

"SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan," katanya.

Pada Jumaat media melaporkan, sitaan bangunan Menara Ilham oleh SPRM adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.

Sitaan dilakukan selepas satu siasatan dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Pada 21 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terperinci akan dilaksanakan terhadap semua individu yang disyaki terlibat dalam isu Kertas Pandora tanpa mengira parti politik.

Menurutnya, badan-badan siasatan yang terlibat telah diarahkan menjalankan siasatan berdasarkan bukti dan fakta tetapi sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa atau motif politik, mana-mana pihak boleh mencabarnya.

.