Sri Pahang umum berpisah dengan 10 pemain

10 pemain yang tidak lagi bersama Sri Pahang pada musim depan. Foto: FB Sri Pahang
10 pemain yang tidak lagi bersama Sri Pahang pada musim depan. Foto: FB Sri Pahang
A
A
A

PROSES transformasi kelab Liga Malaysia (Liga-M) kian hangat setelah setiap pasukan mula mencongak strategi untuk mengharungi musim 2024/2025 apabila sepak mula dijadual awal Mei 2024.

Selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) melakukan kejutan berpisah dengan barisan kejurulatihan serta pemain, tiba giliran Sri Pahang FC pula membuat perubahan baharu.

Skuad Tok Gajah menerusi hantaran di laman sosial sebentar tadi mengumumkan seramai 10 pemain tidak lagi bersama pasukan pada musim depan.

Mereka terdiri daripada pemain import Kevin Ingreso, Michael Glassock, Lucas da Silva, Sherzod Fayziev dan Nicholas Swirad.

Turut tersenarai ialah Muslim Ahmad, Malik Mat Arif, Zuhair Aizat, Wan Syazmin Wan Rozaimi dan Shahrul Nizam Nadzir.

"Sri Pahang FC merakamkan ucapan terima kasih kepada 10 pemain yang tidak lagi akan bersama kelab bagi mengharungi Liga Malaysia 2024.

"Komitmen, dedikasi dan keringat yang dicurahkan sepanjang menyarung jersi Tok Gajah, serta impak positif yang dibawa kepada kelab akan sentiasa dihargai dan dikenang.

"Terima kasih, semoga terus berjaya bersama pasukan baharu," tulis Sri Pahang menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Skuad Tok Gajah yang dibimbing jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad menamatkan saingan Liga M musim ini dengan menghuni tangga kelima Liga Super, suku akhir Piala Malaysia dan pusingan kedua Piala FA.

JDT pada Jumaat mengumumkan pengarah teknikal kelab dan penasihat utama pasukan, Hector Bidoglio kembali sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Selatan.

Ia bagi menggantikan Esteban Solari yang berpisah dengan skuad juara 10 kali Liga Super itu selepas satu musim membimbing pasukan dari selatan tanah air itu.

Turut tidak lagi bersama JDT ialah barisan kejurulatihan termasuk Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero.

Ia adalah sebahagian langkah JDT yang giat melakukan transformasi kelab bagi mengurangkan perbelanjaan 30 hingga 40 peratus disebabkan keperluan penstrukturan semula kewangan.

Beberapa pemain Harimau Selatan juga tersenarai dalam transformasi besar-besaran yang disifatkan sebagai antara usaha jagoan selatan tanah air itu memantapkan lagi struktur kewangan kelab termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak.

Pemain lain ialah S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

Pemain yang akan dipinjamkan keluar pula ialah Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Haziq Nadzli.