Ivan Mamut tekad lebih tajam

Ivan membuat lanjutan kontrak selama setahun bersama TFC untuk mengharungi musim 2024/2025. - Foto: FB Terengganu FC
Ivan membuat lanjutan kontrak selama setahun bersama TFC untuk mengharungi musim 2024/2025. - Foto: FB Terengganu FC
A
A
A

PENYERANG berbisa Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut mengikat 'jodoh' setahun lagi bersama skuad Penyu untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025 dengan sepak mula dijadual awal Mei 2024.

Perkhabaran itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab pada malam Khamis.

“Penyerang utama pasukan, Ivan Mamut secara rasmi telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini untuk saingan musim hadapan.

“Ivan menyatakan apa yang beliau lalui sepanjang musim ini bersama kelab termasuk penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan pasukan ini telah membantu meningkatkan motivasi dan prestasinya," tulis kelab itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pemain kelahiran Croatia itu muncul penjaring terbanyak buat Terengganu untuk musim 2023 selepas dibawa masuk Tomislav Steinbruckner meskipun mempunyai permulaan yang perlahan pada awal saingan liga.

Ivan atau terkenal dengan julukan Wan Mahmud oleh penyokong skuad Penyu melakukan 32 penampilan dalam empat kejohanan dan meledak 24 gol – 11 Liga Super, sembilan Piala Malaysia, dua Piala FA dan dua Piala AFC.

”Ivan ingin buktikan untuk tampil lebih cemerlang untuk musim keduanya bersama kelab ini,” catat hantaran itu.

Skuad Penyu sebelum ini turut mengekalkan khidmat Steinbruckner untuk mengemudi cabaran Liga-M yang lebih sengit pada musim depan.

Artikel Berkaitan:

TFC pada musim ini muncul naib juara Piala Malaysia, menghuni tangga keenam Liga Super, semi finalis Piala FA dan tidak tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.