Agong kurnia 302 individu darjah kebesaran, bintang, pingat

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan JMN kepada Saraya pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan JMN kepada Saraya pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi.

Saraya mendahului senarai 302 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Negara di sini hari ini.

Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan JMN kepada Ketua Dewan Muslimat Pas, Pusat Nuridah Mohd Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahmad Tarmidzi Ramly; bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia, Dr Amir Hashim Md Yatim dan bekas Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur Jabatan Kerja Raya, Dr Lim Char Ching.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 14 penerima termasuk bekas Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan Darjah Johan Setia Diraja (JSD) kepada Brig Jen Baharudin Abu Hassan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Selain itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 41 penerima, Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 74 penerima, Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 150 penerima dan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD) kepada 17 penerima.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Pada istiadat itu, petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd Suffian Juraimi, 37, yang merupakan penjaga jentera elektrik dan telah berkhidmat selama 13 tahun, menjadi antara seorang daripada penerima pingat PPN.

Beliau yang mula bekerja sejak 2009 di Bernama menzahirkan rasa syukur dikurniakan pingat berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuk memberikan khidmat lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Sabtu ini merupakan ulang tahun kelahiran saya dan kurniaan ini sebagai hadiah hari lahir yang paling bermakna untuk saya dan harap rakan seperjuangan di Bernama akan mendapat peluang rezeki seperti saya pada masa akan datang,” katanya. - Bernama