APMM Johor kesan seorang nelayan dikhuatiri lemas

Anggota APMM membawa mayat salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di Sungai Nibong di sini semalam.
Anggota APMM membawa mayat salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di Sungai Nibong di sini semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor sedang mengesan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan di sekitar perairan Sungai Nibong di sini semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu bermula jam 6 petang sebaik menerima laporan pada jam 5.30 petang.

Katanya, operasi berkenaan juga dilakukan selepas nelayan tempatan di kawasan berkenaan menemui mayat seorang lelaki yang kemudiannya disahkan ada bersama-sama mangsa ketika turun ke laut.

“Mayat lelaki ini telah dijumpai nelayan tempatan tersangkut pada pukat di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika tenggara Tanjung Tohor pada jam 1 tengah hari sebelum anaknya membuat pengesahan.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, APMM percaya bot yang dinaiki kedua-dua mangsa ini telah karam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, operasi masih diteruskan sejak semalam membabitkan radius sejauh 100 batu nautika persegi dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

”Lima aset termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama beberapa bot nelayan tempatan telah digerakkan untuk membantu operasi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutama pengguna perairan Johor yang berdepan situasi kecemasan untuk segera menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404).

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap, pengguna perairan negeri ini dapat menitik beratkan keselamatan ketika berada di laut.