Pendakwah bebas saman pegawai khas Najib, Zamil RM5 juta

Ahmad Husam
Ahmad Husam
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu di Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, berhubung kenyataan memfitnah dirinya.

Ahmad Husam menamakan empat individu iaitu pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi, 36, dan bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, 56.

Dua lagi individu yang turut disaman ialah Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad, 24, dan Mohd Fairus Shaari@Mohd Fazil, 29, yang didakwa bersekongkol memfitnah Ahmad Husam.

Berdasarkan writ dikemukakan, saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad pada 14 Disember lalu.

Peguam, Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili Ahmad Husam selaku plaintif berkata, notis tuntutan berkenaan dikeluarkan pada 13 November lalu selepas tidak mendapat respons daripada individu berkaitan.

Menurutnya, Mukhlis didakwa menerbitkan satu hantaran di laman Instagram beliau dengan menulis 'sesiapa nak tengok Ustaz Scammer boleh pi standby di Mahkamah Kangar esok (22/6/2023) pagi, lebih kurang pukul 8.30 am'.

Sementara, Zamil menulis dan menerbitkan pelbagai kenyataan fitnah antaranya melalui satu video yang dimuat turun di Facebook miliknya dengan menuduh Ahmad Husam sebagai penipu, menyalahgunakan wang derma orang ramai dan wang zakat.

"Plaintif tegaskan kenyataan fitnah yang diterbitkan defendan dalam notis berkenaan adalah berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran buruk kepada orang ramai bahawa plaintif seorang penunggang agama yang tidak amanah, penipu dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Asyraf berkata, Ahmad Husam mendakwa kesemua kenyataan yang dibuat oleh Mukhlis dan Zamil bukan sahaja memfitnahnya, tetapi tuduhan jahat itu dibuat selepas beliau enggan membayar RM400,000 kepada defendan.

"Dalam writ tersebut, dinyatakan wang sebanyak RM400,000 itu adalah sebagai wang penyelesaian bagi satu siasatan yang dikatakan dilakukan polis terhadap Ahmad Husam," katanya.

Menurutnya, berikutan itu Ahmad Husam menuntut ganti rugi am sebanyak RM5 juta, permohonan maaf daripada defendan, selain perintah supaya defendan tidak mengulangi kenyataan fitnah seumpamanya dan perintah supaya kenyataan fitnah berkaitan dipadamkan oleh defendan, serta ganti rugi teruk.

Sementara itu, Ahmad Husam ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana pihaknya telah memfailkan saman di mahkamah.

“Kes membabitkan saya dan defendan-defendan terutamanya Zamil telah difailkan di mahkamah, saya dinasihatkan peguam untuk menghormati proses perundangan dan tidak memberikan sebarang komen berkenaan kes.

“Saya juga mohon semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.