Tipu status B40: Nampak remeh tapi besar kesannya

Terdapat ibu bapa yang menipu status pendapatan supaya dikategorikan B40 bagi membolehkan anak diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) - Foto Bernama
Terdapat ibu bapa yang menipu status pendapatan supaya dikategorikan B40 bagi membolehkan anak diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) - Foto Bernama
A
A
A

TEGURAN Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap ibu bapa yang menipu status pendapatan supaya dikategorikan B40 bagi membolehkan anak diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunjukkan rendahnya nilai integriti dalam diri kita.

Di mana-mana sekalipun, bila ada peluang, maka wujudlah kelompok individu yang suka mengambil kesempatan atau dalam kes ini, menipu untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan yang bukan hak mereka.

Asyraf Wajdi mengaitkan perbuatan ini dengan tiada keberkatan. Ya, dengan bersikap tidak jujur atau berbohong, kita bukan hanya mungkin mengambil hak orang lain malah melakukan dosa kecil tanpa kita sedar. Sebagai ibu bapa, kita adalah role model kepada anak-anak.

Jika kita selalu menunjukkan akhlak yang baik di hadapan mereka supaya dicontohi, tidakkah kita berasa bersalah menipu untuk memberikan pendidikan yang akan menentukan masa depan anakanak kita kelak?

Hakikatnya, amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh ibu dan bapa sangat besar.

Data berpusat mungkin antara sistem yang mampu menutup kelompongan maklumat seterusnya mengekang perbuatan ‘menyamar’ ini daripada terus menjadi-jadi.

Idea kerajaan mewujudkan Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 misalnya, diharapkan dapat diselaraskan penggunaannya bukan hanya untuk memastikan kerajaan mendapat maklumat tepat berkait sosioekonomi setiap keluarga bagi menyalurkan bantuan kepada golongan sasar.

Meskipun begitu, harus diingat, dalam dunia yang serba canggih dengan teknologi dan sistem yang semakin berkembang pesat, kejujuran tetap menjadi unsur penting dalam menjaga integriti sistem itu.Tanpa kejujuran individu dalam perkongsian data, penipuan tetap masih boleh berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, sekali lagi nilai integriti dan kejujuran dalam pengisian maklumat, terutamanya berkaitan dengan aspek kewangan seperti pendapatan, adalah kritikal.

Berbalik kepada perkara pokok, sebenarnya amat besar nilai berlaku jujur dalam sistem kehidupan kita.

Menerapkan nilai baik ini kepada anak-anak, sebenarnya adalah perjalanan panjang untuk kita bukan hanya membina sebuah keluarga yang harmoni malah membina sebuah masyarakat yang beretika!