Kereta mewah kenderaan rasmi menteri: Tunggu keputusan Kabinet, kata Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

BAYAN LEPAS - "Tunggu keputusan Kabinet," itu reaksi ringkas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditanya mengenai pemberian kontrak kenderaan melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 Honda Accord untuk menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Menurutnya, semua kelulusan bergantung kepada keputusan Kabinet.

"Kita berpandukan kepada keputusan Kabinet," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet telah berbincang kaedah terbaik yang dapat memberikan penjimatan kepada kerajaan.

"Antara yang dibincangkan ialah pemberian elaun kenderaan atau menyediakan kereta rasmi.

"Perkara ini nanti akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Guan Eng ketika meninjau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini pagi tadi.
Guan Eng ketika meninjau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini pagi tadi.

Semalam sebuah portal mendedahkan mengenai kontrak kenderaan yang bakal ditawarkan kepada beberapa pembida selepas kontrak 25 tahun oleh Spanco tamat hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kerajaan juga bercadang menggantikan 1,300 unit kenderaan penguatkuasaan dalam tempoh lima tahun akan datang dan juga 8,000 unit Proton Persona dan Saga untuk kegunaan jabatan kerajaan.

Kontrak baharu selama hanya 15 tahun membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas tahun kelima.

Syarikat yang akan membida untuk kontrak tersebut ialah Spanco, Kumpulan Naza, Berjaya, Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto.

ARTIKEL BERKAITAN Keputusan kontrak kenderaan menteri dibuat Kementerian Kewangan