10 sungai di Terengganu lepasi paras bahaya

Penduduk tidak melepaskan peluang memasang pukat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Kepah. - Foto Bernama
Penduduk tidak melepaskan peluang memasang pukat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Kepah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10 sungai di lima daerah di Terengganu melepasi paras bahaya setakat 3.15 petang ini susulan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, di Daerah Besut stesen terlibat termasuk Sungai Besut di Jambatan Keruak yang mencapai paras 37.56 meter (meter) dan Sungai Besut di Kampung La di paras 24.19 manakala di Daerah Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap mencatat paras 21.24m sementara Sungai Setiu di Kampung Besut, 17.99m.

Di Daerah Hulu Terengganu pula, Sungai Berang di Kampung Menerong telah mencapai paras 25.33m; Sungai Peneh di Felda Mengkawang (38.57m) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (23.00m).

Dua stesen di Daerah Dungun iaitu Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja mencatat paras 38.88m manakala Sungai Dungun di Jambatan Jerangau pada paras 12.67m dan diikuti dengan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman yang mencapai paras 18.77m.

Dalam pada itu lima stesen sungai di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut; Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu; Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang.

Sementara itu, menurut http://bencanaalam.jkr.gov.my, beberapa laluan terpaksa ditutup akibat banjir dan juga tanah runtuh setakat 2 petang ini.

Di Daerah Hulu Terengganu, Jalan Kampung Matang-Nibong-Bukit Tadok, Hulu Terengganu dibuka kepada kenderaan berat sahaja manakala Jalan Kampung Jak-Kejir dan Jalan Pelata ditutup kepada semua kenderaan.

Di Daerah Dungun pula Jalan Tok Kah Jerangau dan Jalan Tepus Kuala Jengai, Dungun ditutup kepada semua kenderaan ringan dan dibuka kepada kenderaan berat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu orang ramai dinasihati mendapatkan maklumat melalui laman sesawang berkaitan sebelum memulakan perjalanan dan menggunakan laluan alternatif. - Bernama