Isu kumpulan pengganas di negara ini berjaya dibendung

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia berjaya menangani isu kumpulan pengganas walaupun pihak berkuasa terpaksa berdepan pelbagai cabaran besar.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keberkesanan pihak berkuasa menangani isu jelas dapat dilihat apabila hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan mereka yang terlibat sebelum serangan dilakukan kumpulan atau individu terlibat.

"Ia satu pencapaian, ia diuruskan oleh pihak risikan Malaysia, selain menggunakan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

"Saya fikir satu sudut ini berkesan walaupun kita akan mengambil langkah dengan menambah dan membawa pindaan (akta) ke Parlimen tidak lama lagi," katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia tidak memandang mudah soal keganasan dilakukan elemen jahat seperti Daesh sama ada dari dalam atau luar negara ataupun kumpulan lain yang cuba menggunakan Malaysia sebagai pangkalan.

"Ini kita tidak pandang mudah dari satu sudut tindakan yang dilakukan oleh risikan Malaysia untuk menahan mereka itu boleh dikatakan berjaya," katanya.

Ditanya berhubung kebajikan warga PDRM, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan warga polis bagi memastikan semangat bekerja dalam kalangan anggota dan pegawai polis sentiasa berada pada tahap yang tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: