Penumpang dinasihat berada di KLIA empat jam sebelum berlepas

Semua penumpang bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dinasihatkan untuk merancang perjalanan sewajarnya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih awal. - Gambar hiasan
Semua penumpang bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dinasihatkan untuk merancang perjalanan sewajarnya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih awal. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua penumpang bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dinasihatkan untuk merancang perjalanan sewajarnya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih awal.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan mengesyorkan, penumpang tiba sekurang-kurangnya empat jam lebih awal bagi memastikan setiap urusan daftar masuk berjalan lebih lancar.

Menurutnya, nasihat perjalanan itu dikeluarkan susulan musim puncak sempena perayaan dan cuti sekolah, selain peningkatan terhadap permintaan untuk perjalanan udara.

"Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menjangkakan purata pergerakan trafik penumpang harian masing-masing sebanyak 79,200 dan 66,400 sehingga akhir tahun ini.

"Musim cuti biasanya menyaksikan lonjakan dalam trafik penumpang dan tiba lebih awal membolehkan penumpang melalui proses daftar masuk, keselamatan dan menaiki pesawat dengan kelewatan yang minimum.

"Tambahan pula Terminal 1 KLIA kini sedang menaik taraf sistem pengendalian bagasi sebagai sebahagian daripada program penggantian aset untuk meningkatkan kecekapan operasi," menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

MAHB memaklumkan, proses menaik taraf itu merupakan inisiatif penting mengekalkan serta menambah baik keseluruhan infrastruktur lapangan terbang.

Oleh yang demikian penumpang digalakkan memberi kerjasama kepada kakitangan KLIA dan syarikat penerbangan dengan memberi masa tambahan bagi menampung sebarang kelewatan yang tidak dijangka.

Artikel Berkaitan:

"MAHB menghargai pemahaman dan kesabaran semua penumpang kerana proses menaik taraf ini penting bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan cekap untuk jangka masa panjang," ujarnya.