Pelan tindakan strategik tentukan kedudukan calon Awan bagi PRU16

Adly ketika berucap pada Konvensyen Awan Nasional 2023 pada Jumaat.- FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Adly ketika berucap pada Konvensyen Awan Nasional 2023 pada Jumaat.- FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KLANG - Pelan tindakan strategik Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) peringkat nasional bakal menentukan kedudukan wakil sayap parti itu sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, Awan perlu menyediakan pelan tindakan tersebut bagi mengenal pasti potensi wakil mereka bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Menurutnya, kegagalan menguruskan parti di peringkat kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan calon yang berpotensi sukar menang.

Adly (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Amanah Wanita Nasional 2023 pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Adly (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Amanah Wanita Nasional 2023 pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Saya cadangkan kepada wanita Amanah supaya mendapatkan kelulusan di peringkat nasional, pelan tindakan wanita Amanah bagi menghadapi PRU16 dan pilihan raya negeri-negeri bagi memposisikan wanita Amanah di peringkat nasional.

"Dengan pelan tindakan itu kita boleh kenal pasti sebenarnya wanita Amanah ada banyak potensi.

"Ada kerusi yang boleh menang tapi tak menang sebab kita gagal menguruskan parti itu di peringkat kawasan atau peringkat Dewan Undangan Negeri," katanya ketika ucapan perasmian Konvensyen Awan Nasional 2023 di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, Awan diyakini mampu meletakkan kedudukan mereka dengan lebih baik berdasarkan gerak kerja yang dibuat, termasuk hubungan yang baik di peringkat kawasan dan sokongan rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bercakap dalam sidang akhbar, Adly berkata, Awan telah menjalankan peranan dengan baik dalam tempoh lapan tahun penubuhan Amanah.

"Kita sentiasa melihat dan menilai perkembangan ini kerana kita tahu dengan tanggungjawab dan penglibatan wanita Amanah banyak membantu kedudukan Amanah sebagai kerajaan.

"Saya berharap Amanah melalui Awan dapat diperkasakan lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, rangka pelan tindakan bagi komposisi Awan dalam PRU akan datang akan digerakkan dengan mengambil kira calon-calon baharu berpotensi dan sedia ada.

"Ini kali pertama kita diarahkan oleh parti untuk peringkat Awan menyediakan pelan tersebut, jadi persiapan itu boleh dibuat lebih awal.

"Kita menyambut baik dan tak perlu ada perbahasan menolak atau menerima kerana kita selari dan ia adalah satu cara yang lebih progresif dan proaktif pastikan 30 peratus wanita meletakkan peranan dalam parti," katanya.