Perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Tahun Baru 2020

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersyukur saya kerana sekali lagi kita rakyat Malaysia dapat bersama untuk menyambut tahun baru 2020 di dalam keadaan aman, sejahtera dan bebas.

Tahun 2020 agak signifikan di hati saya. Semasa saya menerajui pentadbiran Malaysia pada kali pertama, kerajaan menerusi Wawasan 2020 ketika itu telah menyasarkan tahun ini sebagai tahun bagi negara kita mencapai taraf negara maju.

Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kita telah menyediakan blueprint yang baharu yang kita kenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dalam lain perkataan, kita telah melanjutkan sasaran tersebut ke tahun 2030 dan kita percaya, kita akan dapat mencapai objektif tersebut.

Usaha Memakmurkan Negara

Kenapakah kita sering bercakap mengenai usaha-usaha untuk memaju dan memakmur negara? Ini kerana ia adalah amanah yang diserah kepada kita apabila kita menerima tanggungjawab menjadi kerajaan.

Kerajaan tidak boleh bersikap berserah kepada keadaan semasa tanpa memikir strategi dan perencanaan yang difikir sesuai untuk memaju dan memakmur negara.

Sebagai contoh pada ketika ini harga sawit mencapai tahap paling tinggi sejak sekian lama. Kerajaan gembira dan bersyukur kerana rakyat yang mendapat untung dari kenaikan ini.

Artikel Berkaitan:

Tetapi di masa yang sama kerajaan perlu mengingat rakyat yang menikmati keuntungan tersebut supaya berjimat dan menyimpan untuk hari-hari mendatang jika dan ketika harga sawit tidak sebegitu tinggi lagi.

Di samping itu, kerajaan, menerusi agensi-agensinya akan terus memperkenalkan dasar-dasar untuk memastikan rakyat dapat memaksimakan hasil dari industri tersebut selain mencebur ke dalam industri lain.

Secara ringkas, kita perlu terus berusaha dan tidak bergantung kepada takdir untuk memaju diri kita.

Baru-baru ini kita telah mengadakan KL Summit di mana beberapa pemimpin negara Islam telah hadir dan berbincang secara khusus strategi dan kerjasama yang mampu meningkat ekonomi dan kemajuan negara-negara Islam.

Selain untuk memaju dan membuat negara Islam tidak lagi bergantung kepada negara bukan Islam yang termasuk negara yang memusuhi Islam, kerajaan juga melihat KL Summit itu sebagai peluang untuk meneroka bidang-bidang baru yang kritikal dan perlu bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga rakyat Malaysia yang menganut agama lain.

Kemajmukan Malaysia Kekuatan Kita

KL Summit itu juga merupakan peluang kita memperlihatkan kepada negara Islam yang lain bagaimana kita berupaya hidup bersama dengan penganut agama lain tanpa konflik dan pergeseran yang terlampau.

Kita mungkin tidak sedar bahawa setiap kali kita mengadakan persidangan antarabangsa seperti KL Summit, Malaysia sebenarnya telah memperlihatkan kepada dunia betapa kita berjaya hidup aman damai di tengah kepelbagaian kita.

Tidak pernah terlintas di pemikiran kita untuk memperkenal undang-undang mengasing rakyat atau pendatang berasaskan agama atau bangsa.

Walaupun kita mempunyai beberapa peruntukan untuk kaum bumiputera, ianya untuk memastikan kelangsungan mereka dan bukan bersifat menidak dan mengambil hak rakyat yang lain.

Kerana itu kita dapati kekayaan negara tidak dipegang oleh bumiputera semata-mata malahan di kongsi dan dalam banyak keadaan dipegang oleh kaum yang lain.

Perkara ini agak sukar difahami oleh negara-negara lain di mana kaum majoriti sering memegang kuasa dan ekonomi Negara.

KL Summit juga telah membuka mata kita kepada beberapa perkara. Tetapi khususnya saya ingin menarik perhatian kita kepada pentingnya rakyat Negara yang tercinta ini bersatu padu demi kelangsungan kemajuan negara serta membina kekuatan bangsa.

Kita lihat bagaimana beberapa negara yang turut serta dalam KL Summit ini yang menghadapi pelbagai sekatan. Bukan sahaja mereka berjaya mengatasi keadaan ini, tetapi mereka juga telah berjaya memajukan negara mereka.

Ini bukan sesuatu yang datang bergolek, tetapi adalah hasil dari kesedaran akan perlunya berusaha membina kekuatan bangsa menerusi kerajinan serta kegigihan mempelajari ilmu serta membina pengetahuan yang tinggi.

Pengetahuan yang tinggi dapat kita gunakan untuk membina kekuatan negara dalam pelbagai bidang.

Hanya dengan menjadi sebuah negara yang kuat kita dapat kekal merdeka dalam erti kata sebenar. Kita tidak perlu tunduk kepada sesiapa.

Menyedia Diri Menghadapi Kemelut Ekonomi Dunia

Ketika masih ada dalam kalangan rakyat kita yang masih terperangkap dengan polemik politik yang tidak akan memaju diri, keadaan di luar tidak menjanjikan kita satu perjalanan yang mudah.

Kegawatan akibat perang dagang antara kuasa besar dan kemajuan teknologi yang begitu cepat dan mendadak adalah faktor yang akan melakar hala tuju dunia dan negara.

Kita perlu menerima keadaan ini dan berusaha memaju diri untuk menangani perubahan dan cabaran ini.

Kita telah lihat bagaimana kemajuan teknologi digital telah mengubah cara perniagaan dan perkhidmatan. Mereka yang memahami perubahan ini telah mencari peluang untuk kerja dan pendapatan. Yang tidak berubah telah kehilangan punca kehidupan.

Kerajaan akan terus membantu rakyat untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baru ini menerusi program yang telah disedia dan akan diperkenal.

Dan harapan kerajaan rakyat akan mengambil peluang ini dan bersama-sama dengan kerajaan untuk memajukan diri mereka. Apabila mereka berjaya, kerajaan dan negara turut menumpang kejayaan tersebut.

Sebelum saya akhiri perutusan ini, saya sekali lagi pohon rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan untuk memaju negara ini dengan memajukan diri.

Walaupun kita tidak dapat mencapai sasaran negara maju sepenuhnya tetapi ada beberapa perisian negara maju yang boleh kita lakukan.

Nilai-nilai seperti rajin, berdisiplin, menjaga kebersihan, bersifat tolak-ansur, hormat menghormati, berbudi bahasa dan berjiwa besar adalah ciri-ciri yang membeza kita dari mereka yang tidak maju dan mundur.

Sifat-sifat mulia ini mewakili kesemua budaya, agama dan bangsa dan kepelbagaian Malaysia seharusnya membuat kita lebih peka kepada nilai-nilai tersebut.

Ayuh kita raikan persamaan dan pinggirkan perbezaan. Selamat Tahun Baru 2020. Terima kasih.