'Jangan tunggu orang mati, baru nak buat kerja' - Arul Kumar

Keadaan jalan di Jalan Mantin-Beranang yang rosak. Gambar kecil: Arul Kumar
Keadaan jalan di Jalan Mantin-Beranang yang rosak. Gambar kecil: Arul Kumar
A
A
A

NILAI - Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) yang didakwa gagal menyelenggara Jalan Persekutuan di negeri ini dengan baik terutamanya di kawasan Nilai.

Menurutnya, ada beberapa jalan didapati berlaku kerosakan dan berlubang berulang kali yang sepatutnya diambil tindakan penyelesaian secara menyeluruh dan bukannya sekadar ditampal.

"Seperti masalah kerosakan di Jalan Mantin-Beranang yang meragut nyawa semalam (Rabu), saya sendiri pada minggu lepas telah ke kawasan itu dan sudah minta JKR ambil tindakan.

"Tindakan diambil hanya menampal lubang di situ sedangkan isu utama air yang mengalir dari tanah bersebelahan sehingga menyebabkan air bertakung di atas jalan yang lama kelamaan menyebabkan jalan itu rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Nilai berkata, boleh dikatakan hampir setiap minggu jalan itu ditampal kerana masalah jalan berlubang yang berulang.

Menurutnya, kegagalan pihak dipertanggungjawabkan menyelesaikan isu tersebut menyebabkan kerajaan negeri dikritik gagal menyediakan infrastruktur jalan yang baik.

Tambahnya, kebanyakan aduan diterima berhubung jalan rosak membabitkan Jalan Persekutuan, bukannya Jalan Negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jalan-Jalan Negeri, kita telah jaga dengan baik dan jika ada aduan jalan rosak, kita akan cuba selesaikan segera.

"Masalahnya sekarang, kita tak dapat selesaikan isu-isu di Jalan Persekutuan. Kita tak boleh lagi tunggu orang mati atau bila dah banyak berlaku kemalangan baru nak buat kerja," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta JKR mengambil tindakan lebih agresif bagi menyelesaikan isu Jalan Persekutuan dengan memberi keutamaan kepada jalan yang didapati berisiko kemalangan.

Arul Kumar berkata, beliau juga telah memaklumkan kepada Menteri Besar supaya kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu Jalan Persekutuan.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan harapan seorang bapa supaya pihak berwajib dapat membaik pulih kerosakan di Jalan Mantin-Beranang berdekatan sebuah stesen minyak di situ.

Ia selepas anaknya Mohamad Fitri Abdul Sani, 30, yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan langgar lari di lokasi terbabit.

Abd Sani Md Yatim, 61 berkata, dia tidak tahu bagaimana anaknya kemalangan, namun jalan di lokasi terbabit agak teruk dengan keadaan jalan berlubang dan ditakungi air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!