Lelaki didakwa bunuh isteri guna dumbel

Izzat (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis.
Izzat (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya menggunakan dumbel didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan membunuh minggu lalu.

Izzat Saat, 38, yang memakai baju T berwarna merah, menundukkan kepala dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Rosnan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nurul Qurraisyia Zulkafli, 33, di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak di sini antara jam 10.30 malam, 14 Disember dan jam 10.30 pagi pada 16 Disember lalu.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff sementara tertuduh diwakili oleh peguam, Rezal Mazli Abdul Muin dan M Hafiz Zainol Abidin.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 19 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul oleh suaminya, menggunakan dumbel kerana cemburu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, laporan berkaitan kejadian itu diterima pada jam 5.33 pagi oleh suspek sendiri, yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.

Pasangan tersebut baru berkahwin pada April lepas dan belum mempunyai anak.