Projek 'Selekoh S' diharap beri manfaat kepada pengguna

Mohamad Fazli (tiga dari kiri) di laluan berkenaan selepas Majlis Penyerahan Projek Selekoh S pada Khamis.
Mohamad Fazli (tiga dari kiri) di laluan berkenaan selepas Majlis Penyerahan Projek Selekoh S pada Khamis.
A
A
A

KULAI - Projek penambahbaikan Jalan Ft001 Johor Bahru Ayer Hitam atau Projek Selekoh 'S' diharap memberikan banyak manfaat kepada pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM9.5 juta (RM3.8 juta baki projek) itu akan lebih menjamin keselamatan pengguna.

Menurutnya, projek 'Selekoh S' sejauh 1.3 kilometer (km) itu siap pada 21 November lalu dan hari ini (Khamis), pihak JKR Johor serahkannya kepada BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri).

"Projek ini bermula sejak 2016, tetapi ada masalah pada 2021 hingga kita terpaksa terminate (tamatkan) kontraktor lama dan alhamdulillah projek ini dapat disiapkan pada November 2023 selepas lapan bulan di sambung semula.

"Kita ada masa setahun sebelum serahkan kepada pihak Persekutuan setelah gunakan peruntukan negeri untuk 'elokkan' jalan ini kerana sebelum ini, kemalangan selalu disebabkan ada dua selekoh berbentuk 'S' selain bentuk muka bumi di kawasan ini yang curam.

"Jalan ini telah mula digunakan November lalu dan ia turut dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan sekali gus menjadikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin," katanya.

Laluan Selekoh S telah mula digunakan November lalu dan turut dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan sekali gus menjadikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin.
Laluan Selekoh S telah mula digunakan November lalu dan turut dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan sekali gus menjadikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Projek Selekoh S pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah JKR Johor, Abu Bakar Abd Aziz; Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Sektoral) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Mohd Shahrin Rahmat dan Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Mohd Rashidi.

Pada majlis berkenaan, Mohamad Fazli turut menyaksikan penyerahan projek menyiapkan baki kerja bagi cadangan memperelok jajaran di laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam, di kilometer (KM) 38-40 Kulai, Johor - Selekoh 'S' oleh JKR Negeri Johor kepada BPENJ.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, tiga lagi jalan raya di negeri ini yang dikategorikan dalam 'projek sakit' akan disiapkan tahun depan.

Katanya, setakat ini, kerja-kerja sudah dimulakan di Jalan Kempas, Johor Bahru dan Kampung Rahmat, Batu Pahat; manakala Kampung Sawah, Pontian yang masih dalam proses tender, dan ketiga-tiga projek berkenaan ini dijangka siap tahun depan.

"Pihak JKR Negeri Johor kini sedang bekerja keras bagi menyiapkan semua 'projek sakit' yang sudah dikenal pasti ini dan anggaran kos bagi menyiapkan baki kerja ini melibatkan jumlah RM11.9 juta di Jalan Kempas, manakala RM3 juta bagi Kampung Rahmat dan Kampung Sawah.

"Lagi pun, bila jalan-jalan ini dikategorikan sebagai projek sakit, ia akan dipantau secara langsung oleh Pengarah JKR negeri dan beliau akan laporkan pada saya setiap bulan," katanya.