Bank Rakyat beri kemudahan pembayaran zakat simpanan

Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembayaran zakat simpanan kepada pelanggannya.
Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembayaran zakat simpanan kepada pelanggannya.
A
A
A

BANK Rakyat melancarkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik menerusi Akaun Simpanan-i dan Akaun Semasa-I, baru- baru ini sebagai kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat simpanan dengan mudah dan lancar.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, menerusi kemudahan itu, Bank Rakyat akan mengguna pakai konsep Syariah iaitu kontrak Wakalah yang mana pelanggan sebagai ‘muwakkil’ melantik bank tersebut sebagai wakil untuk menguruskan pembayaran zakat kepada agensi mengurus zakat (AMZ) seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Perkhidmatan baharu ini memperlihatkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digitalnya dengan menyediakan penyelesaian inovatif kepada pasaran.

“Ia akan memberikan kemudahan dan pengalaman terbaik pelanggan, termasuklah membantu meningkatkan kemakmuran ekosistem kewangan sosial dan Islam secara keseluruhannya,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, inisiatif yang juga bertepatan dengan nilai daya cipta Malaysia Madani ini bukan sahaja dapat menggalakkan pelanggan memenuhi tanggungjawabnya malah memastikan kelancaran pelanggan untuk membayar zakat simpanan tahunan mereka pada waktunya.

“Jumlah zakat simpanan akan dihitung secara automatik dan ditolak melalui sistem Bank Rakyat apabila memenuhi syarat haul dan nisab menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan. Pelanggan juga akan menerima resit operator zakat dan pemberitahuan daripada Bank yang mengesahkan pembayaran berjaya dilaksanakan.

“Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik ini boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tersebut tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa individu seperti Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi).

Artikel Berkaitan: